AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Jawatankuasa Syariah

 

Pengerusi

Tn. Haji Azizi bin Che Seman

Tn. Haji Azizi kini menyandang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah Agrobank bermula 1 Jun 2021 dan telah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah Agrobank sejak Jun 2015. Beliau merupakan pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah dengan kepujian kelas pertama daripada Universiti Malaya pada tahun 1996 dan kemudian berjaya menamatkan Ijazah Sarjana yang diperoleh daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Ekonomi pada tahun 2001. Beliau banyak terlibat dalam bidang penulisan akademik, jurnal dan kertas pembentangan dalam seminar dan persidangan yang berkaitan dengan muamalat, dalam dan luar negara. Antara pengkhususan beliau ialah pasaran modal Islam, ekonomi Islam dan fiqh muamalat.

Pada permulaan karier beliau dalam Institusi Kewangan Islam, beliau telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah di Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) pada tahun 2005 dan seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah di institusi yang sama. Beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah di RHB Islamic, Pengerusi Jawatankuasa Syariah Agrobank, Pengerusi Penasihat Syariah di AIBIM dan menjadi Ahli Jawatankuasa Syariah Sun Life Takaful Malaysia. Selain itu, beliau sebelum ini telah diamanahkan sebagai Jawatankuasa Syariah di IBFIM.

 

 

 

Ahli

Dr. Shafaai bin Musa

Dr. Shafaai menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah di Universiti Al-Azhar dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik di fakulti Syariah pada tahun 1991. Beliau kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Perbandingan Undang-Undang di Universiti Islam Antabangsa Malaysia (UIAM) dan kemudian menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Glasgow Caledonian kedua-duanya dibawah tajaan UIAM.

Sepanjang karier beliau lebih 26 tahun yang lalu, Dr. Shafaai berkhidmat di UIAM dalam pelbagai kapasiti bermula pada tahun 1992 sebagai penolong pensyarah di Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim. Pada tahun 2002, beliau berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Undang-Undang Islam dalam masa tiga tahun dan kemudiannya menabur khidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Pusat Pendidikan Berterusan UIAM. Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Kolej Islam Antarabangsa pada tahun 2012 dan mempunyai pengalaman berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Johor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Institut Integriti, Kepimpinan dan Latihan Negeri Johor.

Dalam industri perbankan, Dr. Shafaai pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah di Southern Bank Berhad. Beliau kemudian berkhidmat di CIMB Islamic Bank dari tahun 2006 dan dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Syariah di institusi yang sama pada tahun 2019. Selain itu, beliau pernah berkhidmat di Celcom Axiata sebagai Penasihat Syariah dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah di Sun Life Malaysia Takaful dan CIMB Aviva Takaful. Selain turut berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah di Agrobank, beliau turut berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah dan Ahli Lembaga Pengarah di Public Islamic Bank Berhad dan sebagai Badan Penasihat Syariah di Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad. Dalam industri re-takaful, Dr. Shafaai berkhidmat sebagai Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Syariah Reinsurance Group of America Retakaful sejak tahun 2009.

 

 

 

Ahli

Dr. Abdullaah bin Jalil

Dr. Abdullaah kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau mempunyai lebih lima belas tahun pengalaman pengajaran, penulisan, penyelidikan dan khidmat nasihat dalam bidang muamalat, perbankan dan kewangan Islam. Beliau banyak terlibat dalam bidang penulisan buku, jurnal dan kertas pembentangan dalam seminar dan persidangan yang berkaitan dengan perbankan Islam dalam dan luar negara.

Beliau merupakan alumni Kolej Islam Sultan Ahmad Shah (KISAS) sebelum menyempurnakan pengajian Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Pengajian Islam) dengan kepujian kelas pertama dari Universiti Yarmouk, Jordan. Setelah itu, beliau menyambung pengajian di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kewangan Islam di INCEIF (The Global University of Islamic Finance). Pada tahun 2012, beliau pernah dilantik sebagai salah seorang Panel Pakar bagi Penyusunan Standard Program: Muamalat dan Kewangan Islam di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Selain berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah di Agrobank, beliau kini turut menyandang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah di Prudential BSN Takaful Berhad dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah di Mizuho Bank (Malaysia). Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia dari tahun 2012 sehingga 2021. Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Panel Syariah USIM sejak penubuhannya dan merupakan salah seorang Panel Penyelidik Fatwa di Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

 

 

 

Ahli

Profesor Madya Dr. Sharifah Faigah binti Syed Alwi

Profesor Dr. Sharifah Faigah merupakan Pensyarah Kanan di Arshad Ayub Graduate Business School, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Pengajaran beliau di UiTM dan tugasan sebagai profesor pelawat di Indonesia meliputi bidang usul al-fiqh, fiqh muamalat, kewangan Islam dan kerangka kerja dan tadbir urus pengawalseliaan kewangan Islam. Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi) dan menamatkan Ijazah Sarjana dalam bidang Syariah (Perbankan Islam) di Universiti Malaya masing-masing pada tahun 1995 dan 2004. Beliau kemudiannya mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2012. Dalam masa yang sama, beliau merupakan salah seorang panel penilai bagi Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency) dan penilai/penasihat program perbankan dan kewangan Islam di beberapa buah universiti di Malaysia dan Arab Saudi. Bidang kepakaran beliau tertumpu kepada aplikasi Syariah dalam produk kewangan Islam terutamanya pembiayaan perdagangan Islam.

Terdahulu, Profesor Dr. Sharifah Faigah merupakan Jawatankuasa Syariah di Export-Import Bank of Malaysia Berhad dan United Overseas Bank (Malaysia) Berhad. Kini, beliau berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah di Agrobank, Maybank Islamic Berhad dan di AmMetLife Takaful Berhad.

 

 

 

Ahli

Ustaz Wan Rumaizi bin W.Husin @ Abdul Aziz

Ustaz Wan Rumaizi telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah Agrobank pada 1 Jun 2023. Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh di Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh masing-masing di Universiti Al al-Bayt, Jordan dan UIAM.
Beliau terlibat memberikan wacana dalam bidang Syariah dan aktif dalam memberikan latihan berkaitan Syariah termasuklah fiqh muamalat, ekonomi Islam dan fiqh perubatan. Kini, beliau turut berkhidmat sebagai Exco ASAS, Pengerusi Jawatankuasa Syariah dan Ahli Lembaga Pengarah di AEON Bank (M) Berhad, Ahli Jawatankuasa Syariah di Lembaga Tabung Haji, Ahli Jawatankuasa Syariah di MNRB Holding Berhad, Jawatankuasa Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Jawatankuasa Panel Perunding bagi Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi & Kewangan Islam (IRCIEF), KUIS, konsultan bagi Sadaqah House, IRCEIF-IDB, KUIS serta Ahli Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa, Qatar.

Beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah di Al Rajhi Bank Malaysia, Ahli Jawatankuasa Syariah di Prudential BSN Takaful Berhad, Ahli Jawatankuasa Syariah di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM), Wakil Jawatankuasa Syariah ke Mesyuarat Lembaga Pengarah BKRM, Panel Pakar Muamalat JAKIM dan pelbagai institusi yang lain.