AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Ahli Lembaga Pengarah

 

DATUK YUNOS BIN ABD GHANI

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif

DATUK YUNOS BIN ABD GHANI telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada 17 Disember 2021 dan kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif pada 12 November 2022.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan dari Eastern Michigan University, USA dan Diploma dalam Pengajian & Pengurusan dari Universiti Teknologi MARA.

Datuk Yunos memulakan kerjaya beliau sebagai Pegawai Kredit dan Pengurus Cawangan di Bank Bumiputra Malaysia Berhad (“BBMB”) dari Jun 1981 hingga Oktober 1996 dan kemudiannya, dilantik sebagai Pengurus Besar Cawangan Tokyo pada November 1996 sehingga Oktober 2000. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengurus Besar, Labuan Offshore di Bank Muamalat Malaysia Berhad (“BMMB”) pada November 2000 sehingga Jun 2003 dan seterusnya menjadi Ketua Perbankan Pengguna pada Julai 2003 sehingga Februari 2005.

Datuk Yunos meneruskan karier beliau sebagai Pengarah, Operasi Perbankan dan Pinjaman Runcitan di Bank Simpanan Nasional (“BSN”) pada Mac 2005 hingga Ogos 2006. Pada September 2006 sehingga Mac 2010, Datuk Yunos telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi. Pada Mac 2010, beliau kembali berkhidmat di BSN sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan kemudiannya menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Disember 2017 sehingga November 2020.

Datuk Yunos merupakan ahli Asian Institute of Chartered Bankers. Beliau juga merupakan mantan ahli Majlis bagi Association of Development Finance Institutions Malaysia, mantan Pengarah bagi World Savings and Retail Banking Institute dan juga mantan Bendahari bagi Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia.

 

 

 

DATUK DR. AHMAD KUSHAIRI BIN DIN

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

DATUK DR. AHMAD KUSHAIRI BIN DIN telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Agrobank pada 17 November 2020. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Agronomi) dari Universiti Putra Malaysia pada 1985 dan memperolehi Ijazah Sarjana Sains (Genetik) dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1992 serta Sarjana Sains (Agronomi) dari Louisiana State University, USA pada 1995. Beliau memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang genetik dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1998.

Datuk Dr. Kushairi berkhidmat dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (“MPOB”) sejak ia ditubuhkan pada tahun 1979 sehingga bersara sebagai Ketua Pengarah pada tahun 2019. Beliau mempunyai pengalaman yang luas, kemahiran dan ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang pengurusan organisasi, pembiakbakaan kelapa sawit, genetik kuantitatif, pengeluaran benih, pengurusan ladang dan pengurusan penyelidikan. Datuk Dr. Kushairi telah menerima pelbagai penghargaan antaranya dari MPOB, organisasi nasional dan antarabangsa yang merangkumi Anugerah Penyelidikan Pingat Emas, Trofi Cabaran Sains Kecemerlangan Ketua Pengarah, Anugerah Penerbitan Terbaik dan Anugerah Inovasi. Selaku seorang pakar, beliau merupakan pakar runding dalam pembiakbakaan kelapa sawit, pengeluaran biji benih dan pemilihan ortet.

 

 

 

ENCIK MOHD HANIF BIN MASTUKI

Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif

ENCIK MOHD HANIF BIN MASTUKI telah dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif pada 13 Julai 2022.

Beliau memiliki Diploma Pascasiswazah Pentadbiran Awam dari Institut Tadbiran Awam Negara. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA. Encik Mohd Hanif memperolehi Ijazah Sarjana Ekonomi (Ekonomi Awam) dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2015.

Kerjaya beliau bermula pada tahun 2001 sebagai Eksekutif Audit Dalam/Eksekutif Perancangan Korporat di Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd. Pada tahun 2004, Encik Mohd Hanif menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik di Bahagian Pengurusan Belanjawan, Kementerian Kewangan Malaysia (“MOF”) sebagai Penolong Pegawai Pemeriksa Belanjawan (Dasar) dan seterusnya sebagai Pegawai Pemeriksa Belanjawan (Kesihatan) dari tahun 2004 sehingga 2008. Encik Mohd Hanif juga pernah dilantik sebagai Pegawai Pemeriksa Belanjawan (Sumber Manusia, Belia dan Sukan) sehingga tahun 2011. Kemudian, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Sumber Manusia) di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Ketua Penolong Pengarah di Pejabat Penbangunan Keusahawanan Negara dan Ketua Penolong Setiausaha (Strategi Kerajaan) di Pejabat Dasar Fiskal, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, MOF dari tahun 2011 hingga 2019. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah bagi Lembaga Perumahan Melaka pada tahun 2019.

Kini beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Unit (Teknologi), Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan yang bertanggungjawab menyelia urusan pemegang saham dah urusan korporat bagi syarikat berorientasikan teknologi milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan juga sebagai Pengarah bagi Jambatan Kedua Sdn Bhd.

 

 

 

PUAN RIZLEEN BINTI MOKHTAR

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

PUAN RIZLEEN BINTI MOKHTAR telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada 1 Ogos 2022. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (B.A) dengan Kepujian Tinggi dalam bidang Ekonomi dari Carleton University, Ottawa, Kanada.

Puan Rizleen telah memulakan kerjaya beliau bersama Arab Malaysia Merchant Bank Berhad (“AMMBB”) sebagai Pelatih Eksekutif pada tahun 1989, sehingga ke peringkat jawatan sebagai Pengarah Bersekutu bagi Unit Pengurusan, Perbankan Korporat. Pada tahun 2002, beliau telah menceburi bidang kredit dalam Perbankan Korporat dan Institusi, AMMBB sehingga tahun 2008 apabila Risiko Kredit telah berpusat dibawah kumpulan AmBank (M) Berhad dan telah di lantik sebagai Pengarah, Kumpulan Risiko Kredit. Seterusnya, pada tahun 2012, Puan Rizleen telah dilantik sebagai Ketua, Kumpulan Risiko Kredit dan seterusnya sebagai Naib Presiden/Ketua, Risiko Kredit Borong, Kumpulan Pengurusan Risiko. Beliau telah meninggalkan Kumpulan AmBank pada Januari 2011.

Puan Rizleen merupakan seorang Jurubank Bertauliah yang diperoleh dari Asian Institute of Chartered Bankers , Edinburgh/Asian Institute of Chartered Bankers (“AICB”) sejak tahun 2019. Kini beliau adalah ahli jawatankuasa Certificate of Financial Services and Credit Examination bagi AICB.

 

 

 

ENCIK WAN ZAMRI BIN WAN ZAIN

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

ENCIK WAN ZAMRI BIN WAN ZAIN telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada 2 Februari 2023.

Encik Wan Zamri adalah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Kewangan dan Ekonomi Perniagaan dari Universiti Southern Illinois, Amerika Syarikat dan berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Kewangan dan Sistem Pengurusan Maklumat) dari Universiti West Coast, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Encik Wan Zamri memulakan kerjayanya bersama HSBC Bank Malaysia Berhad (“HSBC Malaysia”) pada tahun 1985 sebagai Pegawai Operasi di Cawangan Sungai Petani dan kemudiannya, beliau menyandang pelbagai jawatan pengurusan eksekutif di HSBC Malaysia dan HSBC Hong Kong di mana beliau menyandang jawatan terakhirnya bersama HSBC Malaysia sebagai Ketua Kumpulan Perniagaan di HSBC Amanah Takaful Malaysia Sdn Bhd dari Februari 2008 hingga April 2008. Pada May 2008, Encik Wan Zamri telah menyertai AIA Takaful International Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (“KPE”) sehingga April 2011 dan kemudiannya beliau menyertai AmMetLife Takaful Bhd sebagai KPE dari Mei 2011 sehingga Mei 2015.

Encik Wan Zamri juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd dari tahun 2017 hingga 2019 dan juga di Zurich General Insurance Malaysia Berhad dari tahun 2018 hingga tahun 2019. Beliau kini adalah Pengurus bersama Sprint Milestone Sdn Bhd dan Pengarah Bebas DynaFront Holdings Berhad.

 

 

 

ENCIK MOHAMED IQBAL BIN MOHAMED IQBAL

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

ENCIK MOHAMED IQBAL BIN MOHAMED IQBAL telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Agrobank pada 2 Februari 2023.

Encik Mohamed Iqbal adalah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Sains Pengurusan dan Sistem Perkomputeran dari Universiti Oklahoma, Amerika Syarikat. Beliau juga turut mendapat petauliahan di dalam Bimbingan Pembangunan atau ‘Developmental Coaching’ dari Interdevelopmental Institute (USA) dan juga telah menghadiri Pembangunan Kepimpinan Eksekutif oleh Universiti Chicago, Booth School of
Business.

Encik Mohamed Iqbal juga pernah menyandang jawatan sebagai pegawai kanan sektor perbankan dan berpengalaman luas di dalam industri kewangan di peringkat domestik dan antarabangsa bagi perbankan konvensional dan juga perbankan Islam serta pengurusan kewangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (“KWSP”). Encik Mohamed Iqbal memulakan kerjaya pada tahun 1987 di Maybank dan kemudiannya di Kumpulan AmBank pada tahun 1989 sehingga menyandang jawatan sebagai Penolong Pengurus Besar pada tahun 1996. Pada tahun 2004, beliau telah menyertai KWSP sebagai Pengurus Besar Jabatan Perbendaharaan dan seterusnya menjadi Ketua Pegawai Kuwait Finance House (“KFH”) yang ketika itu baru memulakan operasi pada tahun 2005. Pada tahun 2016, beliau telah merantau ke Kuwait untuk berkhidmat bersama Warba Bank K.S.C.P sebagai Ketua Pegawai, Perbendaharaan sehingga Julai 2022.

Sepanjang kerjaya beliau, Encik Mohamed Iqbal telah mengembangkan kemahiran beliau dalam bidang transformasi perniagaan, pengawalseliaan, pasaran modal, start-ups, pengurusan krisis, pengurusan risiko, kelestarian, teknologi dan pengurusan modal insan. Berdasarkan fungsi, pengalaman beliau merangkumi perbendaharaan, perbankan antarabangsa, pelaburan, perbankan komersial, perbankan pengguna, pembangunan produk, pemasaran dan pembangunan strategi dan pelaksanaan. Di peringkat awam, Encik Mohamed Iqbal juga pernah menyampaikan pembentangan berkenaan Kewangan Islam di Kuala Lumpur, Jakarta, Bandar Seri Begawan, Khartoum dan Kuwait. Beliau juga pernah dilantik sebagai pakar pembimbing bidang khusus Perbendaharaan dan Pasaran Modal oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam (“IBFIM”).

Encik Mohamed Iqbal merupakan ahli Financial Markets Association of Malaysia sejak tahun 1994 dan menyandang jawatan sebagai Naib Presiden dari tahun 2007 hingga tahun 2010. Beliau juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Teknikal Pasaran Islam bersama Bank Negara Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2010 dan Ahli Jawatankuasa Perbendaharaan Persatuan Perbankan Kuwait dari tahun 2016 hingga tahun 2022. Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah bagi KFH (Australia) Ltd, KFH (Singapore) Ltd, KFH (Labuan) Berhad dan KFH Ijarah House (M) Sdn Bhd. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah di dalam beberapa syarikat iaitu Baitak Kaseh Sdn Bhd, Ansur Makmur Sdn Bhd and Serene Palms Sdn Bhd.

 

 

 

DATIN ARLINA BINTI ARIFF

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

DATIN ARLINA BINTI ARIFF dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada 30 Ogos 2023.

Datin Arlina memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi dari Universiti Carleton, Ottawa, Kanada. Beliau memperoleh Diploma Pasca Siswazah dalam Ekonomi Pembangunan Kuantitatif dan Sarjana Sains dalam Ekonomi Pembangunan Kuantitatif dari Universiti Warwick di Coventry, England. Beliau juga memperoleh Sarjana dalam Amalan Kewangan Islam dari Universiti INCEIF.

Kerjaya profesional beliau bermula pada tahun 1985 di Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia (“BNM”) di mana beliau berkhidmat dalam pelbagai kapasiti sehingga 1997. Pada Ogos 1997, beliau menyertai SJ Securities Sdn Bhd berkhidmat sebagai Ahli Ekonomi Kanan dan kemudiannya sebagai Ketua Penganalisis sehingga September 2000. Beliau kemudian kembali ke BNM dan memegang pelbagai jawatan penting termasuk Timbalan Pengarah di Jabatan Analisis Monetari & Strategi, Timbalan Pengarah di Jabatan Ekonomi, Pengarah di Pusat Pembangunan Modal Insan, Pengarah di LINK (Laman Informasi, Nasihat & Khidmat) dan Pejabat BNM, termasuk jawatan terakhir beliau sebagai Pengarah di Jabatan Inklusi Kewangan dari September 2000 hingga Julai 2022.

Kini beliau merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif PRG Holdings Berhad.