AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

UiTM Meterai Kerjasama Dengan Agrobank Untuk Melonjak Kebolehpasaran Graduan



10 MAC 2022, SHAH ALAM – Perkembangan landskap pendidikan pada ketika ini yang semakin mencabar telah membawa kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Agrobank hari ini.

Kolaborasi yang dijalin adalah untuk membantu mengukuhkan peluang kepada kedua-dua belah pihak dari segi tenaga kerja, latihan, akademik, pertukaran pengetahuan dan kepakaran. Kerjasama itu antara lain bertujuan untuk melebar luas sinergi dalam membantu membina dan memperkasa bakat yang mengkhusus kepada bidang perbankan serta perkhidmatan kewangan. Hasilnya secara tidak langsung akan melonjak kebolehpasaran graduan dan pekerjaan menerusi program seperti keusahawanan, khidmat masyarakat, pemindahan ilmu, penyelidikan dan inovasi.

Berucap pada majlis menandatangani pemeteraian MoU ini, YBhg Datuk Yunos Abd Ghani, Ahli Lembaga Pengarah Agrobank berkata, “Agrobank mempunyai peranan dan tanggungjawab penting untuk membina saluran tenaga kerja masa depan bagi industri perbankan dan perkhidmatan kewangan. Memandangkan persekitaran yang pesat berubah di mana bank perlu beroperasi dengan keupayaan yang optimum, tenaga kerja yang berkualiti merupakan asas kepada kejayaan ini. Oleh itu, universiti seperti UiTM memainkan peranan penting dalam membangunkan saluran tenaga kerja kepada industri dan saya percaya inisiatif bersama di bawah MoU ini mampu memberi sumbangan berharga ke arah membina ekonomi berasaskan pengetahuan.”

Naib Canselor UiTM dalam ucapannya berkata, “sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terbesar di Malaysia, UiTM memainkan peranan yang sangat signifikan sebagai platform percambahan ilmu menerusi pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan keperluan semasa. Sehubungan itu, adalah penting untuk universiti memperkasa hubungan kerjasama bersama dengan industri dari segi reka bentuk dan penyampaian kurikulum, penyelidikan serta pembangunan pendidikan yang berterusan ke arah melahirkan graduan profesional berkualiti yang memenuhi keperluan industri”.

Tambahnya lagi, kerjasama dengan institusi kewangan seperti Agrobank ini mampu memberi sumbangan berharga dan impak positif ke arah membina ekonomi berasaskan pengetahuan yang akan memanfaatkan kedua-dua pihak termasuk kakitangan, pelajar, masyarakat dan komuniti setempat. Pada masa yang sama, kerjasama UiTM-Agrobank dapat melebar luas peluang pengembangan ilmu, peningkatan taraf akademik, semakan kurikulum, pembangunan bakat, kerjaya dan latihan melalui pusat pengajian, fakulti dan fasiliti yang dimiliki oleh kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, YBhg. Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Yang Mulia Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin selaku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank telah sama-sama menandatangani MoU tersebut. Majlis pemeteraian MoU yang berlangsung di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin itu turut disaksikan oleh, YBhg. Datuk Yunos Abd Ghani, Ahli Lembaga Pengarah Agrobank dan YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM.