AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Sasar Menambah Baik Kemudahan Pemulihan Ekonomi Dan Menjana Nilai Menerusi Lima Inisiatif Utama Pada 2022



KUALA LUMPUR – Agrobank mensasarkan untuk menambah baik kemudahan pemulihan ekonomi dan penjanaan nilai menerusi lima inisiatif utama pada tahun 2022 bagi mengukuhkan sektor pertanian di Malaysia.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Khadijah Iskandar berkata, adaptasi pada tahun 2021 telah meletakkan Agrobank dalam keadaan lebih bersedia untuk menghadapi krisis serta lebih lengkap untuk menyokong usaha pemulihan ekonomi dalam sektor pertanian, justeru itu, bank juga akan menumpukan dalam menjana nilai pelanggannya yang melalui kesukaran sepanjang tempoh pandemik.

“Pandemik ini telah mengajar kami untuk bertahan dan terus membangunkan program dan inisiatif yang bersesuaian bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan perniagaan mereka. Sekiranya situasi ini berulang, kami yakin akan mampu menghadapinya,” katanya pada sesi taklimat bersama media yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Lima inisiatif utama tersebut akan memfokus kepada: 1) pemulihan ekonomi – yang akan dijana Agrobank menerusi pengagihan dana kerajaan yang diperhebat kepada kumpulan sasaran dan subsektor tertentu; 2) membangunkan pemacu pendapatan baharu; 3) memacu inisiatif hijau dan mampan 4) pendigitalan untuk meningkatkan cadangan nilai dan produktiviti organisasi dan 5) pengurusan kos untuk mengekalkan peningkatan pelaburan ke dalam keupayaan strategik.

“Contohnya, apabila bercakap mengenai inisiatif utama berhubung pemulihan ekonomi, jangkakan untuk menggandakan pencapaian ke arah pertumbuhan lebih besar dengan fokus untuk memenuhi keperluan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dan menyokong mekanisasi berskala besar selaras dengan pelaksanaan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ketika sesi taklimat tersebut, beliau turut menegaskan kepentingan untuk beralih kepada perkhidmatan pendigitalan yang selaras dengan pembangunan teknologi fintech dan seiring perancangan bank-bank lain di dalam negara, namun bagi Agrobank ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bergantung kepada keperluan pelanggan, khususnya dari kumpulan B40 dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Kami mempunyai perancangan untuk membawa mereka seiring perjalanan pendigitalan kami, tetapi kami juga sedar mengenai kekurangan akses internet di kawasan luar bandar, contohnya di Sabah dan Sarawak, yang masih menjadi isu, terdapat keperluan untuk mendekati dan mendidik mereka mengenai pendigitalan. Dalam pada itu, kami juga sedang membina kerangka baharu untuk menambah baik pengoperasian cawangan bagi memastikan keperluan komuniti setempat khususnya pelanggan kami dari segmen mikro dapat dipenuhi,” katanya.

Bagi tahun 2022, Agrobank merancang untuk mengukuhkan perniagaannya dan menerokai usaha niaga baharu dengan mewujudkan pemacu hasil dan mengembangkan sasaran ke pasaran yang lebih kompetitif dan berdaya saing.

Bank telah mencatatkan pendapatan pembiayaan sebanyak RM510 juta bagi suku ketiga 2021 yang berakhir 30 September 2021, peningkatan sebanyak 2.2 % berbanding RM499 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Menjelaskan lanjut, Khadijah berkata, 2021 merupakan tahun untuk segera pulih daripada impak pandemik COVID-19 bagi Agrobank dan secara berterusan telah menyediakan penyelesaian kitaran balas menerusi pembiayaan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF), PENJANA, PEMULIH dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Sasaran (TRRF) serta bantuan pembiayaan (PEMERKASA dan moratorium) sebagai sokongan kewangan tambahan bagi memudahkan pelanggan komersial, konsumer dan mikronya memenuhi keperluan aliran tunai.

“Kami juga telah memperkenalkan program penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) yang berjaya membantu kira-kira 82% daripada pelanggan kami yang terjejas. Kami telah menggalakkan mereka memanfaatkan pelbagai dana dan sokongan pembiyaan kerajaan yang diperuntukkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang disalurkan melalui Agrobank,” katanya.

Tambahnya, sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP), Agrobank telah diberikan mandat sejak tahun 1969 untuk menyokong kerajaan, membangunkan sektor pertanian dan dengan berpegang pada visi diperbaharuinya, “Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan”, Agrobank berharap tahun 2022 akan bermanfaat kepada komuniti agro di Malaysia, terutamanya komuniti yang terpinggir dan kurang mendapat liputan seperti golongan B40, wanita, orang kurang upaya dan asnaf.

“Bagi tahun 2022, kami juga melihat untuk menambah baik kolaborasi dalam projek berimpak besar dan kolaborasi bersama rakan-rakan strategik kami menerusi Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE). Kami juga berharap untuk terus merancakkan pendekatan dalam pengurusan kredit yang terdedah dan tidak stabil.

“Selain bantuan pembiayaan, kami akan cuba memenuhi keperluan pelanggan kami menerusi ACE, yang menyediakan sokongan ilmu perniagaan dan panduan pengurusan kewangan kepada pelanggan dengan menawarkan pelbagai kursus dalam talian, webinar dan program khas untuk membantu mereka bermula semula dan berjaya dalam perniagaan mereka,” katanya.