AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank: Tiada Caj Keuntungan Tambahan Sepanjang Moratorium Automatik Enam Bulan



KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini mengumumkan bahawa ia tidak akan mengenakan caj keuntungan tambahan ke atas pembiayaan kadar tetap untuk semua pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak dalam tempoh moratorium automatik enam bulan.

Ini adalah berikutan daripada pengumuman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 30 April lalu yang mana pembiayaan Islam dengan kadar tetap berkemungkinan dikenakan caj keuntungan tambahan setelah tempoh moratorium selama enam bulan yang berkuat kuasa dari 1 April hingga 30 September tahun ini.

Mengulas mengenai pengumuman itu, Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, “Agrobank komited untuk meringankan beban pelanggan kami pada masa sukar ini. Oleh itu, bagi pelanggan pembiayaan Kadar Tetap kami terutama pelanggan pembiayaan mikro, tidak akan ada sebarang perubahan dalam jumlah tertunggak dan keuntungan semasa yang perlu ditanggung oleh pelanggan kami.”

“Pelanggan hanya perlu membayar jumlah pembayaran bulanan yang sama mulai Oktober 2020 dan seterusnya, tetapi tempoh pembiayaan akan dipanjangkan sehingga enam bulan lagi daripada tempoh pembiayaan asal untuk menampung tempoh penangguhan enam bulan sepanjang moratorium automatik,” tambah Khadijah.

Agrobank berharap pengumuman itu dapat memberikan pelanggan mereka lebih kelegaan dari beban kewangan mereka dan sekaligus membantu mereka menghadapi cabaran lain yang mungkin sedang mereka hadapi.

“Pandemik COVID-19 adalah satu keadaan yang tidak dijangka yang telah memberi kesan kepada perniagaan termasuk industri pertanian terutamanya kepada perniagaan kecil dan mikro. Langkah ini akan memberi banyak kelebihan kepada pelanggan pembiayaan mikro kami. Agrobank komited untuk terus menyokong pelanggan kami dalam memperkukuhkan perniagaan mereka terutamanya pada masa sukar ini,” katanya lagi.

Agrobank juga turut menekankan bahawa penangguhan pembayaran masih secara automatik untuk pelanggannya dan tidak ada sebarang langkah tambahan yang perlu dilakukan untuk membolehkan pelanggan menikmati kemudahan moratorium automatik.

Walau bagaimanapun, bagi pelanggan yang tidak mahu mengambil moratorium masih boleh memilih untuk melakukannya pada masa ini dengan mengisi borang di www.agrobank.com.my/no-mora dan meneruskan pembayaran berjadual mereka berdasarkan syarat perjanjian yang ada.

Di waktu sukar ini juga, Agrobank terus peka dan mengambil berat akan keadaan pelanggannya. Bagi pelanggan yang terjejas oleh COVID19, Agrobank juga menyediakan sesi bimbingan dan kaunseling untuk perniagaan mereka. Pelanggan boleh menghubungi mohdnazry@agrobank.com.my dan hasanul.israq@agrobank.com.my untuk mendapatkan perkhidmatan ini.