AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Berkongsi Maklumat Mengenai Prospek Dan Peluang Dalam Sektor Pertanian Bersama Pelanggan



JOHOR BAHRU Agrobank hari ini meneruskan penganjuran siri bicara bisnes Agenda Agro: Prospek dan Peluang dalam sektor pertanian yang diadakan di Johor Bahru, Program ini telah dihadiri oleh 100 orang tetamu yang terdiri daripada pelanggan Agrobank di Johor dan Melaka.

Memasuki siri keempat selepas penganjuran di Perlis, Pahang dan Sarawak, Program Agenda Agro meneruskan matlamat untuk memberi pendedahan menerusi sesi perkongsian maklumat tentang potensi dan peluang yang boleh diaplikasikan dalam melakukan perancangan strategik untuk meluaskan empayar perniagaan masing-masing. Program ini juga memberi nilai tambah buat usahawan tani untuk mendapatkan maklumat terkini tentang polisi kerajaan dalam membantu meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonomi mereka.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, wilayah Melaka dan Johor merupakan negeri yang mempunyai potensi terbesar dalam aktiviti penghasilan produk terutamanya produk berasaskan pertanian.

Melalui perkongsian maklumat seperti ini, ia dapat membantu pelanggan dalam melakukan perancangan strategik untuk meluaskan empayar perniagaan masing-masing dengan bantuan pembiayaan dari Agrobank. Negeri Johor khususnya mempunyai kelebihan kerana memiliki saiz tanaman makanan yang terbesar berbanding negeri-negeri lain. Ini memberi peluang perniagaan yang berasaskan pertanian jika para pelanggan dapat memanfaatkan perkhidmatan yang kami tawarkan ini sebaiknya, kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi

Tambah beliau lagi, Agrobank wilayah Johor dan Melaka merupakan antara wilayah yang berpotensi besar dan telah merekodkan prestasi yang memberangsangkan terutamanya untuk sektor tanaman dan ternakan.

Untuk separuh tahun pertama 2016, Agrobank telah mencatatkan nilai pembiayaan tertinggi iaitu sebanyak RM8,056.57 juta yang juga merupakan pertumbuhan tertinggi yang direkod bagi lima (5) tahun kebelakangan ini. Saya percaya hal ini disokong oleh prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan wilayah Johor dan Melaka dimana untuk separuh tahun pertama 2016, kedua-dua negeri ini mencatatkan jumlah keseluruhan pembiayaan sebanyak RM1.1 billion. Dengan jumlah ini, wilayah Johor dan Melaka merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 10% yakni mengatasi pertumbuhan yang dicatatkan untuk tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu sebanyak 9.6%, tambah Dato’ Wan Fadzmi.

DSC_6430

Pada majlis yang sama, Agrobank turut menyampaikan sijil penghargaan kepada lima (5) AgroAgent (Ejen Perbankan) dengan prestasi terbaik di wilayah Johor dan Melaka. Pengiktirafan ini diberikan khusus bagi menghargai usaha dan komitmen ejen-ejen perbankan AgroAgent dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti pertanian dan juga masyarakat setempat. Lima agensi berikut adalah:

No. Ejen Jumlah Transaksi
1 Persatuan Nelayan Sedili Melebihi 248,000 kali
2 Pertubuhan Peladang Kota Tinggi Melebihi 180,694 kali
3 Pertubuhan Peladang Johor Bahru Timur Melebihi 138,000 kali
4 Persatuan Nelayan Melaka Barat Melebihi 122,000 kali
5 Agrobazaar Kedai Rakyat Anugerah Bumi Gambir Melebihi 122,000 kali 

Sejak dilancarkan pada tahun 2015, seramai 24 AgroAgent telah dilantik di Wilayah Melaka/Johor dan secara keseluruhannya, sehingga kini Agrobank mempunyai seramai 235 wakil AgroAgent di seluruh negara.