AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Menetapkan Hala Tuju Untuk Memacu Pelan Pemulihan Sosio-Ekonomi Dalam Sektor Pertanian Menerusi SBP 2021-2025



KUALA LUMPUR – Agrobank kini siap sedia untuk memacu pelan pemulihan sosio-ekonomi dan pertumbuhan negara dalam sektor pertanian dan jaminan bekalan makanan menerusi pelan strategik lima tahunnya, Pelan Perniagaan Strategik 2021-2025 (SBP 2021-2025).

Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pertanian kekal sebagai salah satu enjin utama pertumbuhan daripada perspektif ekonomi dan pembangunan sosial di Malaysia dan sebagai satu-satunya Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang memfokuskan sektor pertanian di negara ini, Agrobank akan terus memberi tumpuan untuk berkhidmat mengikut keperluan sektor pertanian dan komunitinya menerusi SBP 2021-2025 bagi memeta hala tuju perniagaan untuk lima tahun akan datang.

“Adalah menjadi mandat kami sejak penubuhan Agrobank pada 1969 untuk menyokong kerajaan dalam membangunkan sektor pertanian dan kami percaya dalam usaha mencapai visi diperbaharui kami “Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan”, masih banyak yang harus dilakukan untuk menyokong dan membangunkan komuniti agro, khususnya komuniti yang kurang mendapat perhatian dan terpinggir.”

“COVID-19 telah mendekatkan kami kepada pelanggan kami, untuk kami memberikan lebih perhatian memahami keperluan kritikal mereka dan tempoh yang sukar ini. Gelombang COVID-19 secara ketara telah mengubah beberapa trend sedia ada, khususnya dalam penggunaan digitalisasi. Kami yakin masih banyak lagi yang boleh dilakukan untuk komuniti dan banyak pelan menarik yang telah kami susun bagi menyokong pemulihan jangka masa Panjang bagi sektor pertanian,” katanya.

Menurut Khadijah, SBP 2021-2025 telah dibangunkan ketika tempoh pandemik, justeru itu ia jelas menggambarkan perancangan Bank untuk menyokong serta membangunkan sektor pertanian dan komuniti agro dalam tempoh lima tahun, menerusi empat (4) Bidang Fokus Utama iaitu (i) Pembangunan Pertanian secara Mampan, (ii) Fokus Pelanggan yang Inklusif, (iii) Model Perniagaan yang Transformatif dan juga (iv) Keadaan Kewangan yang Lestari.

Pelan Perniagaan Strategik 2021-2025 dipacu oleh empat (4) bidang fokus seperti berikut:

       (i)      Pembangunan Pertanian yang Mampan

Menyelaraskan aktiviti-aktiviti pembangunan teras Agrobank ke arah menyokong bidang-bidang fokus negara bagi pembangunan pertanian.

       (ii)     Fokus Pelanggan yang Inklusif

Menaik taraf pelanggan kami dalam segmen-segmen utama (terutama B40, usahawan dan belia Perusahaan Kecil dan Sederhana berasaskan pertanian (PKS Agro), menjadi rakan kongsi dalam membangunkan kesejahteraan kewangan keseluruhan mereka dan memperbaiki keseluruhan pengalaman pelanggan Agrobank.

     (iii)      Model Perniagaan yang Transformatif

Memperkenalkan cara baharu Agrobank menjalankan perniagaan dengan matlamat untuk menyokong pembangunan sektor pertanian, menerusi modus-modus yang melangkaui perbankan konvensional.

      (iv)      Kedudukan Kewangan yang Mampan

Mengekalkan keseimbangan antara memperkukuhkan impak pembangunan dan memastikan kestabilan kewangan.

Dalam merealisasikan matlamat SBP 2021-2025, Agrobank akan membentuk nilai secara proaktif menerusi perkongsian pintar dan kolaborasi strategik dengan rakan perniagaan demi mencapai faedah bersama khususnya dalam mencapai visinya. Berfungsi sebagai pemangkin dalam ekosistem ini, ia akan membolehkan Agrobank meneroka dan mencapai nilai maksimum menerusi sumber dan kepakaran mereka dalam industri pertanian dan makanan.

“Perjalanan untuk menjadi seorang usahawan terutama dalam sektor pertanian, sangat mencabar, oleh itu sebagai rakan kongsi jangka masa panjang dalam perjalanan ini, Agrobank akan menyokong agropreneur bukan sahaja dengan memberikan sokongan kewangan tetapi juga sokongan bukan kewangan seperti kelas bimbingan perniagaan bagi menyokong setiap Langkah dalam kejayaan mereka.”

“Untuk mendorong agenda ini, salah satu daripada empat Bidang Fokus Strategik dalam SBP 2021-2025 adalah Fokus Pelanggan yang Inklusif iaitu menambah baik pengalaman pelanggan Agrobank secara keseluruhan di samping mengusahakan inisiatif strategik bagi menyokong agropreneur muda daripada kumpulan B40, segmen asnaf, belia dan wanita untuk memperkuatkan kelayakan kredit dan meningkatkan kemampuan mereka untuk menjana sumber pendapatan,” katanya.

Sementara itu, dalam menyokong pemulihan pasca-COVID-19 khususnya dalam sektor pertanian, Agrobank terus memainkan peranannya menerusi pengagihan pakej-pakej stimulasi kerajaan seperti PENJANA, PEMULIH, Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan kemudahan bersasar serta kemudahan pemulihan lain.

“Sehingga kini, kami telah mengagihkan pelbagai jenis dana rangsangan, termasuk pakej rangsangan dibawah Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Bank Negara Malaysia yang berjumlah kira-kira RM924 juta yang telah memanfaatkan 14,824 pelanggan kami di seluruh negara.”

“Agrobank akan terus memainkan peranan penting dalam menawarkan program-program pembiayaan pada kadar rendah dan terma akomodatif lain bagi menangani gangguan dalam rantaian bekalan. Pencapaian pertumbuhan bulan ke bulan Agrobank kekal optimis pada 5% berbanding pertumbuhan industry sebanyak 3%, sepanjang tempoh pandemik dan situasi semasa negara,” katanya. 

Selain bantuan pembiayaan, Agrobank akan terus menyokong untuk memenuhi perubahan keperluan semasa pelanggannya menerusi Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE), dengan menawarkan pelbagai kursus dalam talian, webinar dan program bimbingan khas untuk membimbing pelanggannya.