AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Salur Bantuan Bernilai RM34,000 Bagi Program Santuni Wira Agro Dan Misi Bantuan Bencana Banjir Agrobank Di Chenor, Pahang



CHENOR, PAHANG – Agrobank menyalurkan bantuan dengan nilai keseluruhan RM34,000 menerusi program Santuni Wira Agro dan misi bantuan banjirnya ke Chenor Pahang di bawah MAFI Prihatin. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha murni Agrobank dalam memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan iaitu juga merupakan pelanggan Agrobank.

Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha (KSU) MAFI dan Tengku Ahmad Badli Shah bin Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank serta turut disertai oleh para sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja Agrobank.

Melalui program ini, Agrobank telah menyampaikan sumbangan zakat wang tunai sebanyak RM10,000.00 kepada Madrasah Raudhah Al Muhibbin yang juga dikenali sebagai Pondok Pak Kob. Agrobank turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk wang tunai, barangan elektrik, barangan keperluan asas dan kebersihan diri kepada pelanggan depositnya di sekitar Kawasan Chenor dan Temerloh, Pahang yang turut terkesan dengan bencana itu dengan nilai keseluruhan sumbangan berjumlah RM34,000.

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, selaras dengan slogan ‘Sentiasa di Sisi Anda’, Agrobank amat cakna dan prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh komuniti setempat di Pahang, terutamanya pelanggan Agrobank, ekoran bencana alam yang berlaku beberapa bulan yang lalu dan membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi program MAFI Prihatin dengan menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dan memerlukan.

“Sebagai sebuah institusi kewangan yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia, kami di Agrobank berasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk turut sama membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dek bencana alam yang berlaku di Kawasan Chenor dan Temerloh, Pahang. Apatah lagi, apabila mengetahui bahawa beberapa pelanggan Agrobank di kawasan tersebut turut terjejas akibat daripada fenomena alam ini.” katanya.

Misi bantuan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank menerusi program perdananya, Agrobank dan Komuniti yang dilancarkan dengan tujuan untuk mendekati dan menyantuni komuniti setempat di mana Agrobank beroperasi.