AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Prihatin – Tawar Moratorium Sehingga Enam Bulan Kepada Pelanggan Terjejas Banjir



KUALA LUMPUR – Prihatin dengan pelanggan kami yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara, Agrobank hari ini mengumumkan Pelan Bantuan Banjir khusus buat pelanggan-pelanggan yang terkesan.  Pelan ini menawarkan penjadualan dan/atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga enam (6) bulan sebagai sokongan membantu para pelanggannya yang terkesan berikutan kejadian banjir yang melanda sejak seminggu lalu.

Menurut Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, “Pelanggan kami adalah keluarga kami dan seluruh kakitangan Agrobank amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran akibat bencana banjir yang melanda kawasan masing-masing sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, ternakan dan ladang serta menjejaskan aktiviti pertanian mereka.”

Sebagai sebuah institusi pembangunan kewangan (IKP) yang prihatin, Agrobank bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan kami dilindungi dan dibantu.  Justeru, sebagai usaha untuk menyuntik semangat buat pelanggan-pelanggan kami, Pelan Bantuan Banjir ini telah dirangka khas khusus untuk membantu mereka membangunkan semula perniagaan  sekali gus memberi ruang untuk mereka mengatur semula rancangan perniagaan masing-masing,” tambah Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah.

“Selain daripada dua tawaran yang dinyatakan, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah akibat banjir. Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank. Selain itu, Agrobank juga akan meletakkan perkara ini sebagai prioriti utama kami di mana kami juga akan turut menghubungi pelanggan-pelanggan yang terkesan bagi membantu mereka menghadapi situasi yang sukar ini.” Beliau berkata demikian selepas keputusan dibuat ketika lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Mohamad Sabu ke ibu pejabat Agrobank pada petang Selasa. 

Mengulas tentang situasi banjir yang memberi kesan kepada sektor pertanian negara, YB Mohamad Sabu berkata “Saya memahami keluhan komuniti pertanian di mana tanaman, ternakan, sektor pemprosesan serta harta benda mereka telah rosak akibat bencana banjir.  Justeru dalam menghadapi cabaran ini, pelan yang dirangka oleh Agrobank diharap dapat meringankan beban yang dihadapi mereka serta memastikan nasib komuniti agropreneur ini terbela.  Ini bagi membolehkan pembangunan perniagaan pertanian mereka terjamin sekali gus meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti pertanian serta membangunkan kestabilan sekuriti makanan negara.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, sila hubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476 atau e-mail ke customer@agrobank.com.my  atau layari www.agrobank.com.my.