AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Peruntukkan RM100 Ribu Bagi Program “Agrobank Dan Komuniti” Bantu Perniagaan Usahawan PKS Sambil Beramal



KUALA LUMPUR – Menyedari hakikat pelbagai kekangan ekonomi yang dihadapi masyarakat sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19 ini, Agrobank mengambil langkah proaktif dengan menjalankan inisiatif “Agrobank dan Komuniti” yang dibangunkan khas dengan kerjasama beberapa usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Agrobank untuk mengedarkan kotak makanan kepada kira-kira 1,600 penerima yang memerlukan di seluruh negara, merangkumi kesemua lapan wilayah di bawah Agrobank.

Inisiatif ini dilaksanakan bertujuan untuk membantu komuniti yang terjejas dan memerlukan bantuan serta sokongan dari segi keperluan asas makanan akibat kesempitan yang dialami ketika tempoh pandemik COVID-19 ini.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Agrobank amat cakna dan prihatin akan permasalahan yang dihadapi oleh segelintir masyarakat ketika tempoh penularan pandemik ini seperti hilang punca pendapatan atau pendapatan berkurang disebabkan potongan gaji oleh majikan dan menyedari situasi ini, pihak Bank telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan usahawan PKS Agrobank dengan membangunkan inisiatif “Agrobank dan Komuniti’ yang memberi manfaat kepada 1,600 penerima di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM100,000.”

“Apa yang menarik mengenai program ini ialah, Agrobank dapat membantu usahawan PKS kami meneruskan kesinambungan perniagaan mereka dengan kami membeli hasil pengeluaran mereka bagi tujuan inisiatif ini, dan para usahawan tersebut juga berpeluang untuk turut sama menyumbang sedikit hasil daripada jualan perniagaan mengikut kemampuan mereka kepada golongan yang memerlukan pada waktu sukar seperti sekarang ini,” katanya.

Sumbangan yang diberikan kepada penerima merupakan bahan makanan asas seperti beras, gula, tepung dan lain-lain. Barangan ini pula dibeli secara terus oleh pejabat wilayah Agrobank daripada usahawan PKS Agrobank di kawasan setempat.  (Rujuk lampiran untuk senarai penuh PKS Agrobank yang menyumbang)

Khadijah turut menambah, ini merupakan salah satu inisiatif Agrobank bagi yang bukan sahaja membantu golongan yang terkesan akibat kehilangan punca pendapatan tetapi juga para usahawan PKS Agrobank dan sekaligus meringankan beban aliran tunai mereka dalam tempoh sukar sepanjang penularan pandemik COVID-19 ini.

Sementara itu, sebanyak 7,000 barangan cenderahati dan korporat ekslusif Agrobank dengan nilai keseluruhan berjumlah RM43,000 turut diedarkan kepada penerima vaksin di lima lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar Lembah Klang sepanjang bulan Julai 2021.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Agrobank untuk menghargai komitmen yang diberikan oleh penerima vaksin untuk hadir ke sesi janji temu vaksin mereka di PPV terbabit dan menjalankan tanggungjawab mereka dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan seterusnya menyumbang kepada pembentukkan imuniti kelompok (herd immunity) di Malaysia.

Barangan cenderahati dan korporat ekslusif Agrobank yang diedarkan di PPV terbabit terdiri daripada air mineral, kipas tangan, pen, dan penghubung pelitup muka yang merupakan antara barang keperluan di PPV terutamanya kepada mereka yang sedang menunggu giliran untuk divaksinasi.

Edaran barangan cenderahati dan korporat ekslusif Agrobank ini telah dilakukan di lima PPV iaitu PPV Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Melaka, PPV Axiata di Bukit Jalil, PPV Bergerak di PPR Seri Sarawak, PPV Bergerak di PPR Seri Kota dan PPV di Kampung Malaysia Tambahan.