AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Ambil Langkah Proaktif Tangani Pandemik Koronavirus



KUALA LUMPUR – Agrobank telah mengumumkan beberapa langkah bertujuan untuk memberikan bantuan kepada para pelanggan yang terjejas dengan penularan pandemik virus COVID-19.

Bantuan ini termasuklah penstrukturan dan penjadualan semua pembiayaan serta penangguhan pembayaran balik pembiayaan sehingga tempoh enam (6) bulan.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata “Kami sangat menghargai hubungan baik bersama para pelanggan kami. Oleh itu, pelepasan pembiayaan akan disediakan untuk pelanggan perniagaan Bank termasuklah Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta individu yang terjejas dengan situasi ini di mana ianya akan dinilai bergantung kepada kes.”

“Kami yakin menerusi langkah-langkah bantuan yang disediakan dan ditambah dengan pakej rangsangan RM20 bilion yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini akan membawa prospek yang lebih baik untuk pertumbuhan ekonomi yang berterusan di Malaysia,” tambah beliau.  

BNM telah memperuntukkan RM3.3 bilion untuk membantu IKS meneruskan kesinambungan operasi perniagaan mereka, melindungi pekerjaan dan menggalakkan pelaburan domestik menerusi Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Agromakanan dan Kemudahan Automasi dan Digitalisasi IKS.

Ketiga-tiga kemudahan ini disediakan oleh institusi kewangan yang terpilih termasuklah Agrobank.  Agrobank telah bertindak secara proaktif dan telah mengenal pasti pelanggan yang terlibat dan layak untuk menerima pakej rangsangan ini.

“Walaupun impak COVID-19 kepada manusia dan ekonomi masih belum diketahui secara keseluruhannya, pada peringkat ini, fokus kami adalah untuk membantu menangani impaknya kepada pelanggan, kakitangan, komuniti dan rakan perniagaan kami,” ulas beliau.

Bank juga bersedia untuk memanjangkan tempoh matang pembiayaan perdagangan dan pembiayaan modal kerja untuk membantu para pengusaha melindungi pekerjaan, mengatasi masalah aliran tunai dan memastikan kesinambungan perniagaan.

Sebagai maklum balas kepada pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 Mac hingga 31 Mac, semua cawangan Agrobank akan dibuka seperti biasa. Agrobank juga menggalakkan transaksi perbankan dalam talian dan mudah alih kepada pelanggan untuk mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia tertumpu ke tempat awam.

“Kami sangat menggalakkan para pelanggan kami memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perbankan internet kami iaitu AGRONet dan AGRONetBIZ serta aplikasi mudah alih kami, AGRONet. Kami ingin memastikan para pelanggan kami sedar bahawa mereka masih boleh melakukan transaksi, melabur, dan membuat bayaran di mana sahaja mereka berada, terutamanya jika mereka tidak dapat datang ke cawangan Agrobank untuk menjalankan aktiviti perbankan mereka, “kata Khadijah.

Pelanggan boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan Bank di 1-300-88-2476 atau kunjungi cawangan terdekat untuk maklumat lanjut.