AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Transformasi Agrobank Sebagai Institusi Perbankan Islam



KUALA LUMPUR – Mulai 1 Julai 2015, Agrobank secara rasminya menjadi Institut Perbankan Islam dengan peralihan kepada Sistem Perbankan Islam atau Full Fledge Islamic Banking (FFIB). Pengumuman ini telah dibuat pada majlis yang telah disempurnakan dengan rasminya oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) di Sasana Kijang Kuala Lumpur. Majlis tersebut turut diserikan degan kehadiran seramai kira-kira 180 orang tetamu.

Dalam ucapan perasmian beliau, YB Dato’ Sri Ismail Sabri menyatakan bahawa peralihan Agrobank kepada sistem perbankan Islamik ini sebagai satu perkembangan positif berdasarkan perkembangan pesat sektor perbankan Islam negara. Peralihan ini dianggap seiring dengan sasaran Kerajaan yang telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan pembiayaan Islamik kepada 40% daripada jumlah keseluruhan pembiayaan dalam tahun 2020.

Saya yakin dengan penglibatan Agrobank sebagai Institusi Perbankan Islam sepenuhnya, ianya akan melengkapkan rantaian penyediaan bekalan sumber dan hasil yang patuh Syariah dari segenap aspek, sama ada dari aspek penyediaan sumber makanan mahupun dari aspek pembiayaan bagi melaksanakan sesuatu projek, demikian menurut Dato’ Sri Ismail Sabri.

Menurut Tan Sri Faizah Mohd Tahir, Pengerusi Agrobank, peralihan Agrobank kepada Institusi Perbankan Islam ini bertitik tolak untuk mengamalkan sistem perbankan yang patuh syariah dan juga menyokong inisiatif Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam dunia yang kondusif, teguh dan dinamik.

Industri pertanian dan asas tani sangat sinonim dengan aktiviti pemprosesan makanan. Dengan peralihan ini, Agrobank mampu menyediakan produk perbankan dan pembiayaan Islamik untuk melengkapkan keperluan industri makanan halal. Ini turut menambah keyakinan pembeli mengenai status halal sesuatu produk apabila ia dihasilkan dengan menggunakan modal dan transaksi perniagaan yang patuh syariah, ujar Tan Sri Faizah.

Dalam tahun 2014, Agrobank menyumbang 32.1% yakni RM2.61 bilion kepada pembiayaan sektor pengeluaran makanan daripada jumlah keseluruhan pembiayaan sebanyak RM5.5 bilion. Ini merupakan penguasaan pasaran hampir satu pertiga dalam sektor pembiayaan pemprosesan makanan. Kami percaya, penawaran pembiayaan Agrobank yang patuh syariah akan memberi lebih keyakinan kepada pengusaha “pengusaha makanan dan pelanggan-pelanggan yang komited untuk melaksanakan perniagaan sejajar dengan prinsip-prinsip Syariah.

Selain itu, penawaran produk-produk perbankan yang patuh syariah turut menguntungkan pengguna kerana ia lebih telus dengan tiadanya caj-caj tersembunyi serta fokus kepada perkongsian keuntungan kepada pengguna. Ini menjadi tarikan untuk semua pengguna termasuklah pelanggan- pelanggan bukan Muslim, tambah beliau lagi.

Tan Sri Faizah juga berkata proses peralihan Agrobank sebagai Institusi Perbankan Islam menjadi fokus pihak Bank terutamanya selepas pengenalan Akta Bank Pertanian Berhad Malaysia 2008 dan usaha peralihan ini telah dipergiatkan lagi dalam tahun 2012 sehingga 2014 dengan fokus kepada penawaran produk-produk pembiayaan Islamik, proses penukaran sistem operasi, penukaran secara berperingkat pembiayaan dan deposit sedia ada serta latihan dan bimbingan kepada kakitangan.

Turut hadir di majlis tersebut ialah En Badlisyah Abdul Ghani, Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM). Beliau berkata transformasi Agrobank menjadi bank perbankan Islam penuh menunjukkan teraju kepimpinan yang berwawasan. Kami, di AIBIM mengalu-alukan Agrobank menjadi sebahagiaan daripada persaudaraan kewangan Islam.  Langkah Agrobank ini merupakan satu langkah yang berani dan kami berharap agar Agrobank terus berkembang ke tahap lebih tinggi dan memainkan peranan yang lebih penting , terutamanya dalam pembangunan sektor pertanian negara dengan menggunakan produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang mantap dan berdaya saing , kata En Badlisyah.

Sempena majlis pelancaran Agrobank sebagai Institusi Perbankan Islam, Agrobank turut menganjurkan Forum yang bertajuk “Jihad Eknomi dalam Perlaksanaan Perbankan Islam; Perspektif baru yang telah dikendalikan oleh Kamarul Baharin Haron, Editor Eksekutif Astro Awani. Antara ahli panel forum ialah Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, President/ CEO Agrobank, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Encik Shamsuri Mohd Yusof, Pengarah ZS Armin Sdn Bhd dan Encik Badrul Zaman Baharuddin, Pengurus Projek Ramly Food Industries Sdn Bhd.Â