AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Lancar Program Sifar Tunai Di Sekolah, Semai Ilmu Pengurusan Transaksi Tanpa Tunai Di Kalangan Pelajar



KUALA LUMPUR – Agrobank melancarkan Program Sifar Tunai dikalangan pelajar sekolah bagi memupuk sikap suka menabung serta cermat dalam pengurusan transaksi tanpa tunai (cashless) khususnya untuk mempersiapkan mereka dengan ilmu pengurusan kewangan yang betul di awal usia.

Aminuddin Amenon, Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank berkata, program ini dibangunkan dengan meletakkan fokus diperingkat sekolah dengan objektif untuk menyemai budaya pengurusan wang yang betul agar golongan muda lebih bersedia dan bijak menjalankan transaksI secara digital.

“Secara amnya, transaksi tanpa tunai di kalangan rakyat Malaysia kini kian meningkat berikutan gaya pembelian secara dalam talian yang nyata lebih popular kerana ia memudahkan pelanggan membuat bayaran terus tanpa perlu mengeluarkan wang di bank secara fizikal.”

“Walaupun konsep transaksi tanpa tunai ini mudah dan cepat, namun tidak dinafikan ia juga turut menyumbang kepada sikap boros disebabkan perbelanjaan yang tidak dipantau atau dikawal dengan baik. Justeru itu, adalah wajar untuk memupuk kesedaran diperingkat awal dengan penglibatan ibu bapa itu sendiri dalam memantau perbelanjaan anak-anak mereka di sekolah,” katanya di majlis pelancaran program itu baru-baru ini.

Program Sifar Tunai Jaringan Dan Jalinan Antara Agrobank Bersama Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMKAKL) merupakan inisiatif sulung Agrobank yang dijalankan dengan kerjasama koperasi sekolah, Koperasi Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur Berhad yang dilantik sebagai ejen kepada Agrobank dalam menyediakan perkhidmatan perbankan kepada komuniti sekolah.

Menerusi program ini, ibu bapa pelajar hanya perlu mendepositkan wang permulaan sebanyak RM50.00 ke dalam akaun pelajar yang telah disertakan dengan pakej perlindungan kemalangan diri dibawah produk Takaful Kasih Plus-i serta kad debit untuk pelajar.

Beliau berkata, Program Sifar Tunai yang mensasarkan kira-kira 700 pelajar dan kakitangan sekolah akan dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah tersebut secara berperingkat dengan menggunakan transaksi tanpa tunai di kantin, kedai buku dan kelab guru bagi memudahkan pelbagai urus niaga di antara pelajar dan pihak sekolah.

“Pelajar hanya perlu membawa kad debit mereka untuk membeli makanan di kantin sekolah atau pun membeli peralatan persekolahan dan buku-buku di koperasi yang akan dilakukan secara autodebit. Ini juga akan memudahkan ibu bapa bagi mendepositkan wang saku kepada anak-anak mereka dan sekaligus membantu mereka memantau perbelanjaan anak-anak kerana semua transaksi dan penggunaan wang dapat disemak secara dalam talian. Berurusan dalam talian juga meningkatkan disiplin belanjawan pelajar itu sendiri,” tambahnya.

Aminuddin berkata, setakat ini 100 orang pelajar telah membuka akaun deposit di bawah program ini, manakala baki pembukaan akaun bagi 600 orang pelajar dan kakitangan sekolah dijangka mula dilaksanakan bermula pertengahan Jun ini sehingga akhir tahun.