AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Lancar Program Celik Wang, Didik Pelajar Sekolah Asas Pengurusan Kewangan Ikut Norma Baharu



KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini melancarkan semula program perdana pengurusan kewangan istimewanya khusus buat pelajar sekolah di Malaysia yang dikenali sebagai Program Celik Wang dengan adaptasi norma baharu, bersempena dengan pengagihan Buku Wang Saku sebagai tanda sokongan Bank terhadap inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) dan sekaligus meningkatkan kesedaran mengenai ilmu pengurusan kewangan di kalangan pelajar sekolah di Malaysia pada usia muda.

Program yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah di lebih 800 buah sekolah angkat Agrobank di seluruh Malaysia ini merupakan salah satu usaha Agrobank dalam menyuntik kesedaran tentang kepentingan pengurusan wang dengan berhemah serta memberi ilmu dan tunjuk ajar mengenai cara menggunakan wang dengan bijak.

Menurut Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon, “Ilmu berkenaan pengurusan kewangan di peringkat awal merupakan satu elemen penting dalam meningkatkan kesedaran dan kepentingan pengurusan kewangan terutama kepada golongan muda pada hari ini. Ini kerana ramai di antara mereka yang sering berhadapan dengan cabaran dalam menguruskan kewangan sehingga menyebabkan mereka terperangkap dalam bebanan hutang di usia yang masih muda.”

Pada majlis itu, selain penyerahan Buku Wang Saku, Agrobank turut menayangkan video ekslusif yang diterbitkan oleh Agrobank untuk menyokong inisiatif Buku Wang Saku oleh BNM. Video yang berdurasi selama lapan minit itu turut menggunakan khidmat personaliti media sosial dan hos rancangan, Dahlia Shazwan yang menyampaikan ilmu berkaitan asas pengurusan kewangan dalam penyampaian video yang santai, menarik dan interaktif, lengkap dengan keseluruhan modul Program Celik Wang Agrobank. Video ini juga akan dijadikan sebagai alat komunikasi untuk dijalankan di sekolah-sekolah angkat Agrobank sebagai penyesuaian bagi meneruskan inisiatif ini mengikut norma baharu dan memenuhi tatacara operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan dengan lebih 50 tahun pengalamn dalam industri perbankan, Agrobank percaya program seperti in mampu memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai kepentingan membuat keputusan kewangan yang bijak bagi menjamin kesejahteraan individu, masyarakat dan negara.”

“Banyak kajian dilakukan yang mengesahkan kepentingan pendidikan kewangan pada awal usia kanak-kanak dan antara kesan positifnya, ia mampu membentuk dan menggalakkan tingkah laku kewangan yang sihat pada masa hadapan,” kata Aminuddin.

“Memandangkan kedudukan dan tahap literasi kewangan rakyat Malaysia pada masa kini masih rendah, maka keutamaan harus diberikan kepada penggunaan wang secara bijak, termasuk bagaimana perlu mengawal perbelanjaan dan simpanan yang mampu membentuk asas kemahiran kewangan yang mampan, dan modul inilah yang turut kita masukkan dalam video Program Celik Wang ini yang merangkumi ‘3S – Save, Spend & Share’,” tambah beliau.

Agrobank turut menyokong inisiatif menyemai tabiat menyimpan di kalangan generasi muda, khususnya pelajar sekolah dengan menyediakan produk khas, iaitu Simpanan Agro Muda – i khusus untuk anak-anak berumur satu hari sehingga 18 tahun. Kini Agrobank telah mengadakan kempen Young Savers Challenge mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah secara bulanan dengan penawaran hadiah terkumpul sebanyak RM60,000 kepada 252 pemenang bertuah sepanjang tempoh kempen.

Sehingga Januari 2022, seramai 196,601 pelanggan kategori kanak-kanak dan remaja telah membuka akaun bersama Agrobank dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM 175.15 juta.

Di majlis yang sama, tetamu jemputan termasuk 25 orang anak-anak dari pelbagai umur dan latar belakang serta kira-kira 50 wakil guru-guru dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Aminudin Baki, Sekolah Menengah Setiawangsa, Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Sekolah Kebangsaan Setia Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Selatan yang sedang mengikuti program ini secara maya turut dipertontonkan dengan bagaimana mereka dapat mengamalkan konsep 3S ini dalam kehidupan seharian mereka, samada di rumah mahupun di sekolah. Menerusi pendekatan ini, kanak-kanak ini akan lebih mudah memahami akan teknik menguruskan kewangan mereka dengan cara yang lebih mudah dan efektif.

Pelancaran program Celik Wang Agrobank ini yang diadakan dalam kapasiti kecil dan patuh SOP ini telah disempurnakan oleh Aminuddin Amenon, Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank dan Sunita Sulaiman, Penganalisa Jabatan Kewangan Pembangunan dan Rangkuman Kewangan BNM serta turut dihadiri oleh para ibu bapa, para pelajar dan rakan-rakan media di TGV Cinema, Encorp Strand Mall, Kota Damansara pada awal pagi ini.