AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Lancar Visi dan Misi Baharu sempena Sambutan Kemuncak 50 Tahun Bank



KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini melancarkan visi dan misi baharu Bank sempena sambutan kemuncak 50 tahun Agrobank. Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri sambil disaksikan oleh YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas  Tani dan Khadijah Iskandar, penanggung tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank.

Menurut Khadijah Iskandar, pelancaran visi dan misi baharu Agrobank ini adalah tepat pada masanya yang menandakan kesediaan kami untuk lebih ke hadapan dalam memberi sokongan akses kewangan yang holistik kepada pelbagai segmen serta komuniti pertanian.  Ini bagi memastikan kelangsungan jaminan bekalan makanan negara terjamin dengan memberi peluang untuk lebih ramai agropreneur mengembangkan perniagaan mereka.  

“Dengan visi ‘memperkasakan pertanian melangkaui perbankan’ serta dengan misi ‘meningkatkan taraf pertanian dan menyediakan sokongan berterusan untuk manfaat komuniti, ekonomi dan pemegang taruh’, menandakan kami bersedia untuk membangun dalam memajukan sektor pertanian negara,” kata Khadijah.

“Menerusi visi dan misi ini, kami akan terus menyalurkan solusi perbankan yang baik dalam mencipta nilai dan impak positif kepada komuniti, ekonomi, persekitaran dan pihak-pihak berkepentingan kami sejajar dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi perantaraan berasaskan nilai atau value based intermediation (VBI),” tambah Khadijah.

Seiiring dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam mengurangkan jurang di antara penduduk bandar dan luar bandar, pertanian dilihat mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan memperkukuhkan ekonomi negara. Justeru, Agrobank akan sentiasa menyokong usaha kerajaan bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ini dapat dicapai sekaligus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih berdaya saing melalui pengukuhan sektor pertanian.

 

Malam gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh YB Tuan Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama lebih 400 orang tetamu daripada pelbagai kementerian, agensi, pihak berkepentingan, rakan strategik dan pelanggan Agrobank.