AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Iktiraf Pemenang Anugerah Agropreneur Agrobank 2017



 

KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini mengumumkan pemenang-pemenang Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2017 sebagai penghargaan kepada usahawan berjaya sektor perniagaan berasaskan pertanian. Anugerah telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertanian & Industri Asas Tani kepada lapan(8) pemenang utama daripada 8 kategori. Seramai lebih daripada 300 orang tetamu menghadiri majlis anugerah tersebut yang berlangsung di Kuala Lumpur sempena dengan ulangtahun Agrobank yang ke-48.

Menurut YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank, antara objektif anugerah ini adalah untuk mengiktiraf *agropreneur berjaya yang dilihat mampu menjadi ikon atau model bagi usahawan lain dalam industri ini serta menggalakkan lebih ramai usahawan lahir bagi membina bisnes agro. “Anugerah Agropreneur Agrobank telah diperkenalkan bagi menyokong usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk mengangkat lebih banyak lagi kisah kejayaan usahawan dalam bisnes agro. Ramai orang masih mengaitkan pertanian dengan persepsi 3D – Dangerous, Dirty dan Difficult (Berbahaya, Kotor dan Sukar). Tetapi ramai usahawan dalam industri ini menunjukkan bahawa prospek perniagaan untuk pertanian dan industri asas tani menjanjikan permintaan berterusan untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa,” kata Tan Sri Mohamad Zabidi.

“Agrobank berbangga dengan pencapaian agropreneur ini (pemenang-pemenang) yang telah bekerja keras demi meningkatkan perniagaan/projek mereka daripada tahap sara hidup ke tahap komersial dan eksport. Agrobank amat berbangga dengan kejayaan para pelanggan kami yang sentiasa komited bukan sahaja untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka tetapi mereka tetapi juga kehidupan orang lain dalam komuniti mereka. Kebanyakan pemenang AAA 2017 menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai di samping mambantu untuk melahirkan lebih ramai usahawan,” tambah Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Menurut Tan Sri Mohamad Zabidi, pertanian adalah antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi terpenting di Malaysia. Sejak penubuhannya pada tahun 1969, Agrobank telah menyokong impian agropreneur bagi membina empayar perniagaan mereka sekaligus menyediakan beribu-ribu peluang pekerjaan kepada orang ramai. Ramai agropreneur telah memperolehi manfaat daripada pembiayaan, produk dan perkhidmatan daripada Agrobank. Dalam ucapannya, Tan Sri Mohamad Zabidi juga turut menekankan bahawa peluang dan potensi pertanian adalah baik. “Bagi separuh pertama tahun 2017, Agrobank telah mencatatkan nilai pembiayaan yang sangat membanggakan iaitu RM9.0 bilion. RM5.6 bilion daripada jumlah keseluruhan adalah pembiayaan bagi sektor pertanian primer manakala RM3.4 bilion merupakan pembiayaan bagi segmen agro-makanan. Ini adalah pencapaian yang baik terutamanya dalam keadaan ekonomi global semasa,” kata Tan Sri Mohamad Zabidi.

Terdapat lapan (8) kategori bagi anugerah tersebut iaitu; Anugerah Agropreneur Muda, Anugerah Agropreneur Mikro. Anugerah Agropreneur Orang Kurang Upaya, Anugerah Agropreneur Wanita, Anugerah Agropreneur Inovasi, Anugerah Pelanggan Setia (Individu dan Syarikat) dan Anugerah Agropreneur Cemerlang. Para pemenang telah menerima anugerah dengan membawa pulang trofi, sijil dan hadiah wang tunai keseluruhannya berjumlah RM140,000.00.

Penilaian pemenang anugerah adalah berdasarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan input daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi meningkatkan proses penilaian.

*Agropreneur merujuk kepada usahawan dalam perniagaan berasaskan pertanian dan industri asas tani; sama ada dalam aktiviti huluan atau hiliran bagi sektor pertanian.

Agrobank meraikan lapan (8) pemenang Anugerah Agropreneur Agrobank 2017. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertanian & Industri Asas Tani.