AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Adaptasi Elemen Pemerkasaan Wanita Dalam Normal Baharu Di Tempat Kerja A



KUALA LUMPUR – Agrobank mula menerapkan prinsip pemerkasaan wanita dengan memperkenalkan beberapa amalan baharu di tempat kerja yang akan dilaksanakan secara berperingkat di samping terus berusaha untuk memperkenalkan initisiatif baharu khusus untuk usahawan wanita.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, berkata, sesebuah organisasi dan majikan harus memainkan peranan dengan mewujudkan peluang pertumbuhan kerjaya bagi pekerja wanita tanpa mereka perlu memikirkan mengenai urusan anak-anak dan keluarga dengan membenarkan pengaturan kerja fleksibel dan amalan mesra keluarga, yang mampu meningkatkan produktiviti organisasi.

“Agrobank telah mengamalkan pelaksanaan jadual kerja fleksibel dengan membenarkan pekerjanya untuk masuk ke pejabat antara jam 8.00 pagi dan 10.00 pagi sejak tahun 2020 sebaik penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan. Kami dapati langkah ini memberi ruang pengurusan masa yang lebih selesa kepada pekerja yang berkeluarga, khususnya wanita, supaya apabila mereka sampai di pejabat, mereka tidak perlu lagi memikirkan urusan berkaitan anak dan keluarga.”

“Kami di Agrobank mempunyai kepelbagaian komposisi lelaki dan wanita dalam tenaga kerja. Kami sudah pun mempraktikkan prinsip pemerkasaan wanita di peringkat pengurusan tertinggi Bank di mana empat daripada 10 jawatan peringkat pengurusan tertinggi dipegang oleh wanita.”

“Manakala di peringkat ahli lembaga, peratusan lembaga pengarah wanita adalah lebih sedikit 40% dengan tiga daripada tujuh orang ahli lembaga pengarah terdiri daripada golongan wanita pada ketika ini,” katanya demikian pada sesi webinar “Membangun dan Memartabatkan Warga Wanita – Cabaran Norma Baharu” yang diadakan secara maya di FB Live Agrobank pada Rabu bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2021.

Khadiiah merupakan salah seorang panelis pada sesi webinar yang dihadiri oleh dua lagi panelis jemputan iaitu Azran Osman-Rani, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Naluri Hidup Sdn Bhd (Naluri) dan Dr. Azura Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF). Sesi tersebut dikendalikan oleh Siti Aishah Md Lassim, Ketua Pegawai Sumber Manusia Agrobank.

Menjelaskan dengan lebih lanjut berkaitan pembabitan wanita dalam perniagaan dan sektor ekonomi, Khadijah berkata, Agrobank telah dimandatkan oleh kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan bagi semua aspek komuniti berkaitan sektor pertanian, dengan penawaran produk dan perkhidmatan yang dibangunkan khusus untuk manfaat golongan wanita.

“Baru-baru ini Agrobank telah melancarkan produk Agro Farah-i, sebuah produk ekslusif buat wanita yang menerapkan elemen hibah yang dikongsikan bersama setiap akaun yang ditandakan dibawah pemilik akaun Agro Farah-i, seperti akaun suami atau anak. Kami juga mempunyai produk mikro kredit Agro Nisaa’-i untuk kemudahan usahawan wanita yang memerlukan pembiayaan tambahan dalam meluaskan perniagaan mereka,” tambahnya.

Bersependapat dengan pandangan Khadijah agar wanita harus bersikap terbuka dalam menerima kepelbagaian di tempat kerja, Azran Osman-Rani berkata, organisasi dan majikan perlu bertindak proaktif dengan memastikan pekerja wanita turut diberikan ruang setara untuk membangunkan kemahiran kendiri bagi pertumbuhan kerjaya mereka dengan mereka tidak dinilai berdasarkan kriteria peribadi yang ditetapkan oleh majikan diperingkat pengurusan.

“Ini merupakan antara cabaran yang harus dikaji. Seseorang tidak boleh dinilai berdasarkan kriteria kejayaan individu semata-mata, sebaliknya nilai kepelbagaian dan kelainan individu itu, cara mereka berkomunikasi dan membuat keputusan yang berbeza harus dititik beratkan dan diberi keutamaan,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai bagaimana wanita harus memperlengkapkan diri menghadapi cabaran ekonomi baharu, Dr. Azura Othman berkata, wanita harus meningkatkan kemahiran digital mereka untuk terus relevan, samada di sektor pekerjaan mahupun di sektor perniagaan.    

Menjelang tahun 2024, peranan yang memerlukan kemahiran digital akan meningkat sebanyak 14% dan wanita perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi digital dan penggunaannya. Melihat semula situasi ketika pandemik COVID-19, orang ramai telah mula menggunakan transaksi digital dalam menjalankan urusan harian mereka dan disebabkan oleh faktor ini, diramalkan bilangan cawangan bank juga akan berkurang pada masa hadapan.”

“Kelebihan literasi digital telah memanfaatkan banyak perniagaan ketika penularan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan banyak perniagaan, kecuali mereka mengadaptasikan teknologi dalam operasi dan transaksi perniagaan dengan menawarkan produk dan perkhidmatan mereka di platform digital. Platform e-dagang telah menyelamatkan banyak perniagaan ketika waktu sukar ini dan pada masa yang sama telah membuka peluang rezeki bagi mereka yang baru bermula,” katanya.