AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Berjaya Tetapkan Harga Bagi Program Sukuk Wakalah Pertamanya Berjumlah RM500 Juta



KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2021 – Agrobank hari ini mengumumkan bahawa harga bagi Program Sukuk Wakalah berjumlah RM500 juta berdasarkan prinsip Islam Wakalah Bi Al-Istithmar berjaya ditetapkan pada 18 Oktober 2021 yang lalu.

Agrobank telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada pelabur menerusi terbitan sulung Program Sukuk Wakalah berjumlah RM1 bilion selepas mengemukakannya kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada bulan Ogos yang lalu.

Mengulas mengenai kejayaan penerbitan tawaran Sukuk bernilai RM500 juta, Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Kami sangat berbangga kerana berjaya melancarkan Sukuk Wakalah sulung Agrobank berjumlah RM500 juta pada 18 Oktober 2021, selepas memuktamadkan proses penetapan harga (book-building exercise) yang menandakan kepentingan pasaran Modal Sukuk Malaysia.”

“Kejayaan menjadi sebahagian daripada instrumen inovatif ini adalah suatu kelebihan buat Agrobank di mana kami percaya ia akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab kewangan Islam global dalam meneraju pasaran modal Islam global,” tambahnya.

“Permintaan yang tinggi di pasaran bagi instrumen ini membuktikan keyakinan para pelabur terhadap kredit, operasi dan aktiviti perniagaan Agrobaank. Penerbitan Sukuk ini akan membolehkan industri menjana keuntungan menerusi pengurusan kos yang efektif dan sekali gus menyediakan penyelesaian peningkatan modal yang dapat mengelakkan kecairan dan penurunan kos modal.”

Hasil daripada penerbitan Sukuk Wakalah ini akan digunakan untuk keperluan perniagaan am dan modal kerja patuh Syariah.

Agrobank telah memberikan tawaran dwi-bahagian (dual-tranche) ke pasaran dengan Sukuk lima dan tujuh tahun masing-masing dengan 51 bps dan 49 bps.  Walaupun di tahap persekitaran pasaran yang mencabar, penetapan harga tersebut telah ditutup pada tahap yang sangat kompetitif iaitu 3.63% p.a bagi Sukuk lima tahun dan 3.90% p.a bagi Sukuk tujuh tahun.

Penerbitan Sukuk sulung ini menyaksikan permintaan yang tinggi daripada pelabur yang terdiri daripada agensi kerajaan, institusi kewangan, syarikat pengurusan aset dan syarikat insurans yang menyebabkan tawaran jumlah langganan yang berlebihan.

Program Sukuk Wakalah telah diberi penilaian AAA oleh Malaysia Rating Corporation Berhad.  Maybank Investment Bank Berhad pula adalah Penasihat Utama Tunggal / Pengatur Utama Tunggal / Pengurus Utama Tunggal bagi Program Sukuk ini.