AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Bekerjasama Dengan NEKMAT Bantu Nelayan Kuala Kedah Menerusi Program ‘Agrobank Dan Komuniti’



KUALA KEDAH, KEDAH – Prihatin dengan keadaan semasa dan kekangan ekonomi yang dihadapi oleh komuniti nelayan sepanjang tempoh COVID-19, Agrobank mengedarkan 600 kotak bantuan makanan menerusi Program Agrobank dan Komuniti pada sesi penyerahan sumbangan yang diadakan pada Jumaat, 24 September 2021  yang lalu kepada komuniti nelayan di Kuala Kedah, Kedah, yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru-baru ini.

Inisiatif yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) ini dijalankan bagi membantu mereka yang terjejas berikutan hilang punca pendapatan kerana tidak dapat ke laut untuk menangkap ikan dan terputus hubungan logistik berikutan arahan PKPD yang membabitkan hampir seluruh kawasan di mukim Kuala Kedah.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Bertepatan dengan slogan kami di Agrobank, ‘Sentiasa di Sisi Anda’, pastinya kami memahami kesukaran yang sedang dihadapi oleh komuniti nelayan di Kuala Kedah di mana kelangsungan kehidupan mereka terjejas akibat tidak dapat ke laut bagi mencari rezeki.  Justeru, diharapkan inisiatif program ‘Agrobank dan Komuniti’ ini dapat meringankan beban yang dihadapi komuniti nelayan di sana untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.”

“Kerjasama strategik di antara Agrobank dan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah bersama NEKMAT pada hari ini adalah testimoni kesungguhan kami untuk terus membantu komuniti agro, khususnya di kalangan nelayan yang terkesan dengan situasi semasa dengan menyalurkan bantuan barangan berupa makanan asas seperti beras, susu, biskut, gula serta keperluan lain, dengan jumlah keseluruhan sumbangan yang bernilai RM49,000”, tambah beliau.

Sesi penyerahan sumbangan ini disempurnakan oleh Kamarul Azlan Razak, Ketua Bahagian Komersial Agrobank Wilayah Utara kepada Abdul Hamid Bahari, Pengerusi NEKMAT di Dewan Komuniti Nelayan, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Misi bantuan di Kuala Kedah ini merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank menerusi program perdananya iaitu ‘Agrobank dan Komuniti’ yang dilancarkan dengan tujuan untuk mendekati dan menyantuni komuniti setempat di mana Agrobank beroperasi.