AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Raikan Komuniti Orang Kurang Upaya Sempena Sambutan Hari Keselamatan Tongkat Putih



KUALA LUMPUR – Bersempena sambutan Hari Keselamatan Tongkat Putih yang disambut pada 15 Oktober setiap tahun, Agrobank menerusi program perdananya, Agrobank dan Komuniti hari ini meraikan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan dan juga komuniti OKU pekak.

Menurut Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, “Sebagai sebuah institusi perbankan yang begitu dekat dengan komuniti di mana kami beroperasi, terutamanya komuniti yang kurang mendapat liputan dan perhatian, Agrobank berasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk turut sama membantu dan menghulurkan bantuan kepada komuniti OKU cacat penglihatan di Malaysia dengan menyumbang sebanyak 100 unit tongkat putih kepada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia.”

Penyerahan sumbangan 100 unit tongkat putih telah disempurnakan oleh Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank kepada Mohammad Nazari Bin Othman, Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia yang diadakan di Auditorium Tun Ahmad Sarji, Menara Lembaga Pertubuhan Peladang pada petang ini.

“Selain sumbangan tongkat putih pada hari ini, kami di Agrobank juga turut berbesar hati untuk menawarkan kursus pemasaran digital dalam talian secara percuma melalui Program Zero Cost Marketing kepada usahawan ahli yang berdaftar di bawah Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia selama dua hari seminggu bagi tempoh tiga bulan,” tambah Khadijah.

“Melalui program yang akan dikendalikan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE), kami telah menyediakan modul latihan pembangunan sosioekonomi menerusi kelas bimbingan yang komprehensif. Program latihan ini akan memberi fokus untuk merapatkan jurang digital di kalangan usahawan ahli bagi membekalkan mereka dengan kemahiran berkaitan pemasaran secara dalam talian.”

“Kami percaya dengan menawarkan kursus sebegini ia mampu menyediakan komuniti ini dengan ilmu dan pengetahuan baharu berkaitan trend perniagaan semasa, sekali gus membolehkan mereka meneroka peluang pasaran perniagaan digital untuk menjana pendapatan sendiri terutamanya dalam tempoh sukar pada saat ini.

Inisiatif Agrobank dan Komuniti ini adalah selaras dengan hala tuju dan strategi perniagaan Agrobank yang turut menawarkan pelbagai produk khas untuk komuniti OKU di Malaysia seperti Agro Nurani, skim perlindungan takaful yang pertama diperkenalkan di Malaysia khusus untuk komuniti OKU dan Agro Bakti, program pembiayaan khas untuk usahawan mikro di kalangan komuniti OKU.

Sementara itu, Mohammad Nazari merakam setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Agrobank atas keprihatinan dan sokongan yang ditunjukkan oleh Agrobank dalam membantu komuniti OKU cacat penglihatan melalui sumbangan tongkat putih dan kursus dalam talian secara percuma terutamanya dalam menghadapi situasi sukar sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19 ini.

Di majlis yang sama, Khadijah turut menyerahkan sumbangan Agrobank berjumlah RM5,000 kepada Persekutuan Orang Pekak Malaysia yang diwakili oleh presidennya,  Mohamad Sazali Shaari bersama beberapa orang ahli daripada persatuan tersebut. Persekutuan Orang Pekak Malaysia telah menyediakan simbol bahasa isyarat khas  yang membawa maksud Agrobank dan menurut Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Agrobank merupakan bank pertama yang mempunyai simbol khas tersebut.

Sambutan Hari Keselamatan Tongkat Putih disambut pada 15 Oktober setiap tahun sejak 1964 dan diadakan untuk meraikan pencapaian komuniti OKU cacat penglihatan di seluruh dunia. Sambutan ini adalah amat signifikan kepada komuniti OKU cacat penglihatan apabila Tongkat Putih dijadikan sebagai simbolik kepada alat kebebasan kepada komuniti ini.