AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Bangunkan Usahawan Agro Menerusi Program Keusahawanan Asnaf



KUALA LUMPUR – Agrobank membuka peluang rezeki baharu kepada lapan (8) usahawan daripada golongan asnaf dalam satu kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Ekza Food Resources, menerusi ‘Program Keusahawan Asnaf – Jom Sate’.

Program kerjasama ini diadakan untuk menggalakkan semangat dan membina kemahiran keusahawan di kalangan komuniti asnaf di Wilayah Persekutuan bagi membantu meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi berikutan penularan pandemik COVID-19 ini.

Dato’ Mustapha Buang, Pengerusi Agrobank berkata, proses membina perniagaan sate bagi lapan (8) bakal usahawan terpilih yang mengikuti program ini telah dipermudahkan di mana mereka menerima bantuan dan sokongan daripada kolaborasi tiga pihak iaitu, Agrobank, MAIWP dan Ezka Food Resources.

“Seramai lapan orang usahawan yang terdiri daripada komuniti asnaf diberi bantuan zakat dan kemahiran latihan, termasuk proses pembelian peralatan membakar dan bahan mentah, memerap rempah ratus serta mencucuk sate, semuanya diuruskan bersama agar usahawan ini boleh terus memulakan perniagaan mereka dan terus berusaha untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka di masa hadapan,” katanya ketika melancarkan Program Keusahawanan Asnaf – Jom Sate secara maya di FB Live Agrobank pada Jumaat.  

“Adalah menjadi azam kami di Agrobank untuk memanifestasikan program-program pembangunan usahawan yang menyambut dan menyokong seruan kerajaan dalam pelestarian ekonomi mikro sepertimana strategi PENJANA. Kami prihatin dan ambil maklum akan kepentingan untuk memastikan kesinambungan perniagaan bagi pengusaha perniagaan mikro yang meliputi lebih 90% daripada keseluruhan perniagaan Industri Kecil Sederhana (IKS) di Malaysia. Ianya adalah tunjang kepada pembangunan ekonomi dan perniagaan IKS,” tambah Mustapha.

Di masa hadapan, Agrobank berhasrat untuk mengembangkan inisiatif ini dengan pembabitan lebih banyak pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, komuniti masjid dan pelanggan Agrobank yang sedia ada sebagai rakan strategik selain meluaskan skop perniagaan.

“Semoga muafakat (kolaborasi tiga rakan strategik) kita untuk membantu peluang rezeki golongan asnaf diberkati. Sesungguhnya usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan bukan sekadar tanggungjawab kerajaan tetapi melibatkan semua pihak bagi memastikan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama,” katanya.

Program Keusahawanan Asnaf Agrobank adalah bersifat menyeluruh dengan pengembelingan “Technical Know-How” dan “Business Best Practices” menerusi pengetahuan penggunaan teknik dan strategi perniagaan terkini (Business Best-Practices).

Program Keusahawan Asnaf Agrobank ini merupakan inisiatif kali kedua oleh Agrobank dalam usaha pengagihan zakat kepada golongan asnaf. Langkah inovatif ini turut melibatkan beberapa pihak lain di bawah program strategik dan berstruktur Agrobank iaitu, Program Keusahawanan Asnaf Agrobank.

Program ini telah dilancarkan buat pertama kali dengan kerjasama Institut Profesional Baitulmal (IPB) dan Alma Processing Trading Sdn Bhd untuk program Bomb Burger pada tahun lalu. Secara keseluruhan, seramai 47 asnaf telah diberikan pelbagai latihan kemahiran berkaitan perniagaan melalui modul pemasaran dalam talian atau ‘online marketing’ dengan kerjasama beberapa institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Terengganu dan IPB.