AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Iktiraf Pemenang Anugerah Agropreneur Agrobank 2019



KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini mengumumkan tujuh (7) pemenang (daripada 7 kategori) di Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2019 sebagai penghargaan kepada usahawan berjaya bagi sektor perniagaan berasaskan pertanian. Anugerah tersebut diberikan kepada usahawan terpilih yang menonjolkan kejayaan memberangsangkan dalam usaha memajukan bisnes agro. 

Anugerah disampaikan oleh YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, disaksikan Puan Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank.

Kira-kira 300 orang tetamu yang terdiri daripada rakan strategik Agrobank dan usahawan tani hadir di majlis anugerah yang berlangsung di Hotel Istana Kuala Lumpur.

Menurut Puan Khadijah Iskandar, anugerah tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif Bank bagi mengenengahkan usahawan yang cemerlang dalam perniagaan agro.

“Bagi Agrobank, amat penting untuk meletakkan pertanian bukan sekadar aktiviti malah ia merupakan satu perniagaan.  Setiap peladang, penternak, nelayan dan pengusaha industri asas tani adalah merupakan usahawan yang memainkan peranan penting menyediakan makanan untuk rakyat dan negara  Kami percaya bahawa kisah kejayaan mereka akan menjadi inspirasi kepada semua sekaligus  mengenengahkan prospek dan potensi yang baik dalam bisnes agro,” kata Puan Khadijah.

Beliau berkata, Agrobank telah ditubuhkan pada tahun 1969 dengan tujuan untuk memberi akses pembiayaan untuk merangsang pertumbuhan dalam sektor pertanian. Dengan mandat ini,  Agrobank komited dalam mencipta nilai (create value) dengan memberikan akses kewangan kepada usahawan agro. Ini secara tidak langsung membantu membangunkan komuniti serta mencipta nilai kepada komuniti sasaran.

“Nilai-nilai ini adalah sejajar dengan perantaraan berasaskan nilai atau value-based intermediation (VBI) iaitu inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) yang memberi fokus kepada amalan dalam menghasilkan kemudahan bagi bidang keusahawanan, kesejahteraan komuniti, persekitaran yang mampan dan pertumbuhan ekonomi,”  

Terdapat tujuh (7) kategori bagi 3A iaitu;  Anugerah Agropreneur Muda, Anugerah Agropreneur Mikro, Anugerah Agropreneur Orang Kurang Upaya (OKU), Anugerah Agropreneur Wanita, Anugerah Pelanggan Setia (Individu) dan Anugerah Pelanggan Setia (Syarikat) dan Anugerah Agropreneur Cemerlang.  Pemenang anugerah membawa pulang sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM140,000.00.