AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank dan MTDC Meterai Kerjasama bagi Merancakkan Amalan i4.0 di Sektor Pertanian di Malaysia



KUALA LUMPUR – Agrobank dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) hari ini memeterai satu perjanjian persefahaman untuk berkolaborasi dan mempromosi program pembangunan usahawan bagi merancakkan amalan teknologi industri 4.0 di sektor pertanian di Malaysia.

Menerusi kerjasama ini, Agrobank akan menyediakan pembiayaan kewangan sebanyak RM20 juta bagi 200 usahawan daripada sektor pertanian yang dikenal pasti oleh MTDC dalam fasa pertama inisitif ini. Setiap usahawan akan menerima pembiayaan maksimum RM100,000.

Usahawan yang dikenalpasti akan dibimbing, dilatih dan diberikan bantuan teknikal menerusi cabang akademi MTDC iaitu, Technopreneur Training Academy (TENTRA) untuk latihan keusahawanan dan Centre of 9 Pillars (Co9P) untuk kemudahan latihan bersama jurulatih berpengalaman bagi setiap latihan dan keperluan solusi i4.0.

Majlis menandatangani perjanjian antara Agrobank dan MTDC ini diwakili Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Dato Norhalim Yunus, Ketua Eksekutif MTDC, dan disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Mustapha Buang, Pengerusi Agrobank dan Tan Sri Abd Rahman Mamat, Pengerusi MTDC pada Rabu.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kerjasama antara Agrobank dan MTDC ini bakal  merealisasikan visi i4.0 negara yang mengaplikasi amalam pertanian moden dan pintar  dalam sektor pertanian.

Beliau berkata, pelbagai bentuk latihan termasuk sesi perkongsian ilmu yang bakal dikendalikan bersama oleh dua entiti ini dijangka merancakkan lagi penggunaan teknologi industri 4.0 khususnya dikalangan usahawan yang mengikuti program pembangunan ini.

“Amalan teknologi moden dan pintar bakal menjadi masa depan di landskap sektor pertanian, dan saya berasa gembira kerana akhirnya visi ini akan direalisasikan menerusi kerjasama ini bagi menyokong pembangunan industri pertanian.

“Usahawan akan diperkenalkan kepada penggunaan robot dalam amalan pertanian pintar yang bukan sahaja menjimatkan kos operasi, malah membantu menguruskan perniagaan yang dengan lebih baik. Pertanian pintar mempunyai potensi besar untuk menyediakan hasil pertanian yang lebih produktif dan secara mampan,” katanya.

Sementara itu, menurut Dato’ Mustapha Buang, Agrobank berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama ini di mana pihak Bank sentiasa komited untuk menyokong peluang perniagaan yang berpotensi untnuk membangunkan industri pertanian negara.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran global seperti faktor perubahan cuaca, peningkatan penduduk dan kekurangan sumber, prospek sektor pertanian nampak positif untuk dekad seterusnya. Sektor pertanian atau lebih tepat, sektor agro makanan, akan terus menjadi enjin utama yang menyumbang kepada ekonomi negara.”

“Justeru itu, dengan menceburi konsep perniagaan baharu yang melibatkan teknologi, kami yakin inilah cara pertanian harus dijalankan pada masa hadapan and ia harus bermula di sini. Amalan i4.0 dalam perniagaan tani mempunyai masa depan yang cerah sekiranya diguna pakai dengan teknik yang betul.”

“Kami juga yakin, dengan bimbingan sewajarnya, inisiatif ini bakal menarik lebih ramai usahawan muda untuk menceburi bidang pertanian dan menjadikan pertanian sebagai sumber kekayaan baharu dalam beberapa masa akan datang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Tan Sri Abd Rahman Mamat berkata, menerusi kerjsama ini, usahawan berpeluang untuk memanfaatkan rangkaian luas MTDC kerana mereka akan diberikan latihan pemasaran, peluang mengembangkan rangkaian dan solusi teknologi kepada pertanian moden dan pintar.

“IoT atau Internet of Things akan mengubah perspektif sektor pertanian. MTDC sebagai pemudah strategik bagi i4.0 adalah komited untuk membantu dan membimbing usahawan yang mengguna pakai teknologi i4.0 yang dibangunkan oleh sumber dan bakat tempatan,” katanya.