AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank dan Felda Bekerjasama untuk Memberikan Nilai yang Lebih Baik kepada Peneroka



KUALA LUMPUR – Agrobank bersedia untuk meluaskan kemudahan bantuan kewangannya kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di seluruh negara berikutan perjanjian kolaborasi yang dimeterai dengan FELDA semasa sambutan Hari Peneroka FELDA peringkat kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA Trolak semalam.

Di majlis itu, YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan skim bantuan kewangan untuk membantu generasi kedua peneroka FELDA memiliki kediaman pertama mereka.

Beliau berkata, “Saya sedar bahawa salah satu masalah utama di kalangan peneroka FELDA ialah generasi baharu peneroka FELDA menghadapi masalah untuk mendapatkan pembiayaan bagi pemilikan rumah kediaman melalui program Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF). Saya ingin berkongsi beberapa berita baik hari ini. Agrobank telah bersetuju untuk memperluaskan syarat pembiayaan mereka dan menawarkan kadar keuntungan yang lebih rendah kepada pemohon yang layak.”

Mengulas mengenai kolaborasi bersama FELDA, Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Didorong oleh matlamat Agrobank untuk memfokuskan kepada program yang bertujuan untuk menyokong komuniti yang kurang mendapat liputan dan terpinggir, Agrobank sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan FELDA dan menawarkan beberapa penyelesaian pembiayaan inovatif kepada komuniti FELDA.”

Dengan kerjasama ini, Agrobank akan menyediakan program pembiayaan rumah di bawah PGBF untuk membantu generasi kedua peneroka FELDA di seluruh negara untuk memiliki rumah pertama mereka tanpa membebankan mereka dengan kos awal dan kadar keuntungan yang tinggi.

“Kami percaya bahawa terdapat keinginan yang semakin meningkat untuk pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia, namun ketidakupayaan dari segi kewangan tetap menjadi halangan utama bagi kebanyakan mereka yang berhasrat untuk memiliki rumah terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah dalam industri pertanian.”

“Sebagai pembiaya utama program ini, Agrobank menawarkan pembiayaan sehingga 110%, dengan kadar pembiayaan pada kadar asas + 1% setahun, secara tidak langsung membuka peluang untuk lebih ramai peneroka FELDA yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan untuk memiliki rumah,” tambahnya lagi.

Selain menyediakan program pembiayaan perumahan di bawah PGBF, kolaborasi di antara Agrobank dan FELDA juga bertujuan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi peneroka FELDA, dengan menawarkan pembiayaan keusahawanan dan perladangan melalui Program Pembiayaan Mikro – Bukan Komoditi dan Program Perladangan – Tanaman Kelapa Sawit dan Getah.

Program-program ini bertujuan untuk mengembangkan kemampuan dan mengasah pemikiran keusahawanan di kalangan peneroka FELDA dan pada masa yang sama untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran peneroka di sektor agromakanan, kelapa sawit dan getah.

“Sebagai sebuah bank yang memahami industri pertanian, Agrobank komited untuk terus memperkasakan komuniti agro termasuk peneroka FELDA melalui program pembiayaan kami yang unik dan berstruktur. Semoga melalui kerjasama ini, kami dapat membantu peneroka FELDA untuk meneruskan perniagaan yang berasaskan pertanian yang diceburi mereka dan pada masa yang sama dapat meningkatkan status sosio-ekonomi mereka,” kata Khadijah.

Agrobank menyediakan penyelesaian kewangan yang patuh syariah dan difokuskan untuk memberi impak yang positif kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar bagi jangka panjang melalui amalan perniagaan yang mampan. 

Solusi pembiayaan patuh syariah adalah untuk membantu perniagaan membawa perubahan positif yang juga sejajar dengan matlamat Bank Negara Malaysia bagi memacu amalan Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) menerusi pembiayaan Islam.