AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

12 Agropreneur Mendapat Manfaat Menerusi Program Pembiayaan Mikro Agrobank



MERSING, JOHOR – 12 agropreneur dalam sektor tanaman nanas hari ini menerima pembiayaan berjumlah RM600,000 daripada Agrobank untuk memulakan perniagaan tanaman nanas.

Setiap agropreneur menerima pembiayaan berjumlah RM50,000 daripada Puan Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank sambil disaksikan oleh YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada satu majlis yang berlangsung di Mersing, Johor.

Ini merupakan salah satu inisiatif Agrobank untuk memperkasakan kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) dalam komuniti pertanian serta pada masa yang sama menyokong agenda Kemakmuran Bersama negara.

“Pada hari ini kita menyaksikan kolaborasi strategik di antara Agrobank, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia and Syarikat Kulim dalam usaha membuka peluang dan menggalakkan penyertaan golongan belia dalam projek penanaman nanas. Ini selaras dgn hala tuju baharu MOA ‘Prioriti & Strategi 2019-2020’ terutamanya dalam menggalakkan penglibatan pihak swasta untuk merancakkan industri agro makanan negara,” kata Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Kementerian sememangnya komited untuk memberi peluang kepada golongan muda yang mempunyai minat untuk menceburi bidang pertanian terutamanya dalam sektor penanaman nanas yang menjanjikan pulangan lumayan. Kita berharap program sebegini dapat menarik lebih ramai golongan belia daripada kumpulan B40 untuk terlibat dalam sektor pertanian dan sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka,” kata beliau lagi.

Menurut Khadijah Iskandar, “Sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), kami komited untuk mencipta dan menyampaikan nilai dalam aktiviti perniagaan kami terutamanya ke arah menyokong Agenda Kemakmuran Bersama. Kami akan terus berusaha untuk memperkasakan golongan B40 menerusi program pembiayaan mikro Bank yang memfokuskan kepada aspek 3A – Aksesibiliti (Accessibility), Ketersediaan (Availability) dan Berpatutan (Affordability).”

“Melalui program pembiayaan mikro ini, kami telah menyediakan pembiayaan mikro untuk semua 12 penanam nanas yang berdaftar di bawah Syarikat Kulim (M) Bhd (syarikat utama). Menerusi program ini, bekalan asas untuk penanaman nanas seperti sulur nanas MD2, perundingan nasihat perniagaan dan penjualan nanas akan diuruskan oleh Syarikat Kulim (M) Bhd”, kata Khadijah.

“Nanas adalah sumber kekayaan baru dan ia adalah perniagaan yang menguntungkan. Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), penanam mampu memperoleh sekitar RM12,000 sebulan bagi setiap hektar yang ditanam. Oleh itu, potensi yang diperolehi menerusi kerjasama ini diharap dapat meningkatkan taraf hidup para peserta serta pada masa yang sama menggalakkan lebih ramai golongan B40 menceburi sektor pertanian,” tambah Khadijah.

“Populariti nanas semakin meningkat di dalam dan luar negara. Malah, nanas kini merupakan buah tropika ketiga terpenting untuk pengeluaran dunia selepas pisang dan sitrus; dan Malaysia terus membina jenama dengan menghasilkan nanas terbaik dunia terutama bagi varieti nanas MD2. Nanas mempunyai permintaan yang tinggi bukan sahaja dari rasa manis dan khasiatnya yang baik tetapi juga penanam nanas boleh mengembangkan perniagaan mereka dengan menghasilkan jus nanas dan menjual sulur nanas”, tambah Khadijah.

Muhammad Shahrul Nizam Abdul Azis, 28, “Sektor pertanian adalah perniagaan yang lebih berisiko namun menjanjikan keuntungan. Pada mulanya, saya fikir mustahil untuk saya menyertai projek bersama Syarikat Kulim kerana kos pelaburan dan komitmen yang besar. Namun, dengan solusi pembiayaan mikro yang disediakan oleh Agrobank, saya mampu untuk memulakan perniagaan berasaskan pertanian ini secara kecil-kecilan. Saya yakin potensi dalam sektor ini dapat menaikkan taraf hidup saya dan komuniti pertanian secara menyeluruh”.

“Saya juga tidak mempunyai pengalaman dalam sektor pertanian, namun dengan sokongan teknikal, latihan dan bimbingan daripada Syarikat Kulim, memulakan perniagaan dalam bidang pertanian ini menjadi mudah. Menerusi kemajuan teknologi, saya dapat menjana pendapatan yang stabil dalam industri”, katanya.

Kolaborasi di antara Agrobank dan Syarikah Kulim bagi program permbiayaan mikro ini telah diumumkan sempena dengan Masjlis Perasmian Pembiayaan Projek Kluster Nanas Lestari Tanah Abang Mersing yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sehingga Januari 2020 (dari April 2019), Agrobank telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat utama lain bagi program pembiayaan mikro seumpamanya menerusi pelbagai sektor pertanian seperti penternakan ruminan, penternakan ayam dan tanaman.