KPKM Melalui Agrobank Perkasa Komuniti Agropreneur Muda Di Bawah Program Pembangunan Belia Tani Di Kalangan Siswazah (Probest 2.0 2024)
SERDANG, 19 SEPTEMBER 2024 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah berkolaborasi bersama Agrobank untuk terus memperkasa komuniti agropreneur muda melalui Program Pembangunan Belia Tani di Kalangan Siswazah (PROBEST 2.0 2024) dengan dana peruntukan sebanyak RM1,692,990.00. Program ini merupakan inisiatif pembangunan belia yang bertujuan membuka peluang kepada anak-anak muda terutamanya golongan asnaf dan B40 di institusi pengajian tinggi menimba ilmu keusahawanan di samping membantu mereka menjana pendapatan. PROBEST 2.0 2024 akan mendedahkan golongan belia kepada latihan dan bimbingan teknikal yang memfokuskan kepada industri berasaskan pertanian seperti tanaman dan penternakan.
Program pembangunan agropreneur muda ini melibatkan tempoh penyertaan selama 12 bulan dan bukan hanya tertumpu pada aspek pengeluaran, tetapi juga memberi tumpuan kepada kemahiran perniagaan. Pada enam bulan pertama, peserta akan dibekalkan dengan bantuan elaun bulanan sebanyak RM500, dana permulaan, alat kelengkapan projek, latihan keusahawanan dan bantuan teknikal projek. Manakala, enam bulan seterusnya, peserta akan dibimbing untuk pengembangan perniagaan dengan memohon geran Agropreneur Muda (GAM). Peserta yang berjaya menamatkan program ini digalakkan untuk mencari tapak baharu bagi perkembangan perniagaan mereka.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Inisiatif ini memberi peluang kepada pelajar terutamanya dari latar belakang kurang berkemampuan untuk mempelajari kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan. Dengan ilmu pertanian dan penternakan yang diperoleh, mereka dapat memulakan projek sejurus selepas tamat pengajian. Ini bukan sahaja membantu mereka menambah pendapatan semasa, tetapi juga membuka jalan untuk kerjaya masa depan yang boleh meningkatkan taraf hidup. Melalui PROBEST, Agrobank mensasarkan pendapatan tambahan para peserta dapat mencapai sebanyak RM1500 sehinga RM2000 sebulan melalui hasil jualan sendiri dan kepada syarikat peneraju.”
Beliau juga berkata, “Pertanian moden yang diterapkan dalam PROBEST merupakan satu daya penarik untuk meningkatkan penglibatan generasi muda dalam sektor ini. Dengan memperkenalkan teknik dan teknologi terkini, ia dapat mengubah persepsi bahawa pertanian hanya melibatkan kaedah tradisional. Pendedahan kepada penggunaan teknologi ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, tetapi juga menjadikan pertanian lebih menarik dan relevan dalam era digital.”
“Bagi pelaksanaan program PROBEST 2.0, Agrobank telah memperuntukkan kos keseluruhan berjumlah RM2.292 juta. Program kali ini memberi peluang penyertaan kepada 61 orang pelajar terpilih. Keutamaan akan diberi untuk peserta daripada golongan asnaf dan B40. Intitusi pengajian tinggi yang terlibat pula adalah UiTM Samarahan dan tiga kolej vokasional.
PROBEST merupakan manifestasi Agrobank untuk mengurangkan jurang ekonomi dan membuka peluang kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada sumber dan modal. Selain itu, fokus kepada golongan belia untuk menceburi sektor pertanian secara tidak langsung menyumbang kepada usaha keterjaminan makanan negara.