AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Bakal Anjur Larian 50 Tahun: Berlari Sambil Menikmati Suasana di Sawah Padi



KUALA LUMPUR – Agrobank akan mengadakan acara ‘Larian 50 Tahun Agrobank’ sejauh 5KM pada 27 Julai 2019 bertempat di MADA Pengkalan Kundor, Alor Setar sempena sambutan 50 tahun penubuhan Agrobank.

Menurut Khadijah Iskandar, penanggung tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, negeri Kedah ini merupakan negeri yang istimewa buat Agrobank.  Untuk makluman, Agrobank ditubuhkan pada tahun 1969 dan cawangan pertama Agrobank telah dibuka di Alor Setar, Kedah bagi membiayai projek pengairan untuk penanaman padi dwimusim di Kedah dan Perlis yang dikenali sebagai MADA.

“Larian di sekitar sawah padi ini menandakan simbolik penubuhan Agrobank ataupun dahulunya dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia.  Di samping itu, kami juga turut berkolaborasi dengan MADA yang merupakan rakan strategik Agrobank semenjak hari pertama lagi. Larian ini merupakan tanda penghargaan kami kepada semua pihak yang telah menyokong Agrobank sepanjang perjalanan 50 tahun Bank.  Selain itu, larian ini juga unik kerana berlari dengan berlatar belakangkan sawah padi.”

“Program larian ini dijangka akan dihadiri oleh sekurang-kurangnnya 1,000 orang peserta dari seluruh tanah air dan sememangnya pihak Agrobank sangat bangga dengan sambutan yang memberangsangkan ini kerana bukan sahaja ianya menandakan sokongan rakan strategik dan pelanggan buat kami, malah larian ‘fun run’ ini juga dapat memupuk gaya hidup yang sihat buat para peserta” tambah Khadijah.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara larian ini. Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti jualan makanan oleh usahawan ‘food truck’, senamrobik dan lain-lain.  Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my.