AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Teruskan Program Perkongsian Maklumat RMk11 Dalam Konteks Pertanian



KANGAR, PERLIS – Agrobank hari ini mengadakan siri bicara bisnes “Agenda Agro” bertajuk RMK11 dan Sektor Pertanian Perbankan: Prospek dan Peluang yang diadakan di Hotel Putra Palace, Kangar. Siri yang bermula di negeri Perlis ini dihadiri lebih 100 orang tetamu yang terdiri daripada pelanggan dan juga pemegang amanah (stakeholder) Agrobank yang lain.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, sesi perkongsian ini merupakan satu bentuk tambah nilai yang diberikan oleh pihak Bank bagi membantu pelanggan untuk mengetahui maklumat terkini tentang polisi Kerajaan dalam membantu masyarakat tani meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonomi usahawan tani. “Rancangan Malaysia Ke11 (RMK11) merupakan langkah transformasi akhir dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020. Sektor pertanian telah dikenalpasti sebagai antara fokus utama dalam pelaksaan RMK11. Dengan adanya sesi perkongsian “Agenda Agro’ ini, kita berharap pelanggan kita mendapat informasi mengenai prospek dan peluang pertanian dalam RMK11. Ini akan membantu mereka untuk membuat strategi dan pelan perniagaan, ” tambah beliau.

Majlis turut dihadiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. Di majlis yang sama juga, Agrobank telah menyumbang RM15,000 zakat perniagaan kepada Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat dan sumbangan projector LCD kepada Sekolah Kebangsaan Putra, Kangar. Selain itu, sumbangan sebanyak RM 25,000 turut diberikan kepada Yayasan Tuanku Syed Putra Yayasan tersebut menjalankan aktiviti kebajikan seperti pendidikan, perubatan, kecemasan dan malapetaka.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis, pengurusan kanan Agrobank dan lebih 100 orang pelanggan di sekitar Perlis.

Selain itu Agrobank juga turut menyampaikan Surat Pelantikan AGROAgent kepada 13 ejen perbankan Agrobank yang meliputi kesemua lima (5) wilayah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) di bawah kelolaan Lembaga Kemajuan Petani Muda (MADA). Lima wilayah tersebut ialah dari Wilayah Arau, Kayang, Kangar, Tambun Tulang dan juga Simpang Ampat. AGROAgent merupakan perkhidmatan ejen perbankan berdaftar untuk kemudahan transaksi perbankan asas seperti menyimpan dan mengeluarkan wang, membayar bil utiliti dan prabayar.