AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Dukung Kerajaan Negeri Sarawak Dengan Menawarkan Pembiayaan Mikro Berjumlah RM50 Juta



KUCHING – Berikutan pengumuman Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) oleh kerajaan negeri Sarawak pada Selasa lalu, Agrobank berbangga untuk menyokong inisiatif terbaru negeri itu di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang. SKMS dibangunkan untuk menyokong usahawan kecil terutamanya yang terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19.

Skim ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 20 Mac.

Peruntukan tambahan yang membawa nilai keseluruhan pembiayaan SKMS kepada RM50 juta ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 62,000 usahawan B40 dan PKS di seluruh negeri itu.

Di bawah kerjasama ini, Agrobank dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak akan menguruskan dan mengagihkan peruntukan berjumlah RM50 juta itu untuk menyokong pembangunan ekonomi usahawan B40 dan PKS di Sarawak.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Negeri Sarawak sentiasa menjadi fokus utama perniagaan kami dan Agrobank akan terus komited untuk memperkasakan kumpulan B40 dan PKS di Sarawak menerusi pelbagai program pembiayaan mikro berstruktur kami.”

“Berdasarkan jumlah pelanggan yang telah kami berikan perkhidmatan di Sarawak membuktikan bahawa aktiviti ekonomi di Sarawak terus rancak dan melalui program ini ia akan terus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan B40 dan PKS serta ekosistemnya untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dalam masa yang mencabar ini. Inisiatif kerajaan negeri Sarawak ini adalah tepat pada masanya untuk menyokong perusahaan kecil dan utama di Sarawak terutamanya yang terjejas oleh COVID-19,” katanya.

Di bawah program pembiayaan ini, Agrobank menyediakan dua skim yang berbeza – Skim Kredit Mikro Sarawak 1 (SKMS 1) dan Skim Kredit Mikro Sarawak 2 (SKMS 2) yang bertujuan untuk menyokong usahawan B40 dan PKS dengan menyediakan sokongan kewangan yang tepat bagi menangani masalah mereka yang pelbagai dalam memenuhi  keperluan perniagaan mereka.

SKMS 1 menawarkan pembiayaan antara RM1,000 hingga RM5,000 dengan sifar kadar keuntungan yang akan diberikan kepada usahawan B40. SKMS 2 pula menawarkan pembiayaan antara RM5,000 hingga RM50,000 kepada usahawan PKS.

Sebagai tambahan kepada program pembiayaan ini, kerajaan negeri Sarawak juga telah mengumumkan untuk memberi moratorium segera sehingga enam (6) bulan bagi pembayaran semula bulanan untuk semua kemudahan pembiayaan yang diluluskan di bawah program ini. Keputusan ini adalah untuk meringankan beban kewangan perusahaan kecil terutamanya di kalangan usahawan B40 dan PKS dalam tempoh yang mencabar ini.

Agrobank menyediakan penyelesaian kewangan yang patuh syariah dan difokuskan untuk memberi impak yang positif kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar bagi jangka panjang melalui amalan perniagaan yang mampan.

Solusi pembiayaan patuh syariah adalah untuk membantu perniagaan membawa perubahan positif yang juga sejajar dengan matlamat Bank Negara Malaysia bagi memacu amalan Perantaraan Berasaskan Nilai 3 (VBI) menerusi pembiayaan Islam.

Pemohon yang layak dan memenuhi definisi B40 dan kriteria PKS boleh menghubungi mana-mana cawangan Agrobank di seluruh negari Sarawak atau hubungi Pusat Perhubungan Kuching kami di 082- 429077 atau 082 -424577 untuk mendapatkan maklumat berkaitan program pembiayaan ini.