AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Sumbang Pelan Perlindungan Takaful Kasih Plus Bernilai RM1 Juta Kepada 100 Peserta Sempena Road To Maha 2024 @ Sabah



SANDAKAN, 12 JULAI 2024 – Agrobank memperluas akses kepada pelan perlindungan Kewangan dan Takaful kepada komuniti masyarakat di Sandakan, Sabah bersempena ”Road to MAHA 2024 @ Sabah” yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dari 12-15 Julai 2024.

Kesihatan dan kesejahteraan masyarakat adalah aset terpenting negara. Sumbangan perlindungan Takaful Kasih Plus bernilai RM1 juta ini dapat memberikan ketenangan minda kepada komuniti Sandakan sambil mempromosikan gaya hidup sihat dan memperkukuh jalinan kerjasama antara Agrobank dan masyarakat setempat. Selain itu, Agrobank juga turut menyumbang dana pembiayaan sebanyak RM1.7 juta.

Program “Road to MAHA 2024 @ Sabah” yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 Julai di Dataran Harbour Mall, Sandakan telah mencetuskan gelombang semangat kesukarelawanan dalam kalangan penduduk setempat. Bermula seawal jam 6:30 pagi, pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dianjurkan, termasuk program Senamrobik yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada lebih 150 peserta.

Agrobank, sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat, telah menyumbang perlindungan takaful bernilai RM1 juta melalui Pelan Takaful Kasih Plus kepada 100 peserta terawal (RM10,000 nilai perlindungan bagi setiap peserta) yang menyertai program Senamrobik. Sumbangan ini adalah bukti komitmen Agrobank dalam menyokong gaya hidup sihat dan melindungi masa depan peserta.

Program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tembok/benteng tepi pantai berdekatan pasar Sandakan, Harbour Mall, dan kawasan sekitarnya. Ahli-ahli Pasukan Simpanan Tentera Laut turut sama berganding bahu membersihkan kawasan tersebut. Kerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan turut memainkan peranan penting dalam menyediakan peralatan seperti tong sampah dan penyapu lidi untuk memastikan kelancaran aktiviti gotong-royong ini.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Kami amat teruja untuk bersama-sama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha mempromosikan MAHA 2024. Road to MAHA 2024 @ Sabah adalah platform terbaik untuk kami mendekati masyarakat, berkongsi ilmu, dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan Agrobank yang relevan kepada keperluan mereka.

Majlis ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sempena siri jelajah konvoi Road to MAHA 2024, bertujuan mempromosikan penganjuran ekspo Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2024 pada September tahun ini.