AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Usahawan PKS Agrobank Pintar Atur Strategi untuk Kekal Relevan Berdepan Situasi COVID-19



KUALA LUMPUR – Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Agrobank terus bertindak secara proaktif dan pintar mengatur strategi dalam menguruskan perniagaan, agar kekal relevan khususnya bagi mendepani perubahan peraturan prosedur operasi standard (SOP) mengikut situasi semasa dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.

Berkongsi pengalaman menguruskan perniagaan sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), dalam siri pertama program UMBI AGRO 2021 yang diadakan secara maya menerusi Facebook Live Agrobank pada Khamis, 28 Mei, dua usahawan wanita Agrobank iaitu Zaharah Zainuddin; Pengarah Urusan, Akie Group Sdn Bhd  dan Norsyakirah Othman; Pengurus, Wezlay Enterprise tampil sebagai panel di program tersebut bagi membincangkan topik: “Setahun Pandemik Covid-19: Tips Berdaya Saing dan Formula Bergerak Kehadapan”. Sesi dialog selama satu jam setengah itu dikendalikan oleh Rosli Jusoh, Ketua Jabatan Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE).

Kedua-dua usahawan wanita tersebut yang bergiat aktif dalam industri pembuatan dan penjualan produk makanan sejuk beku sejak enam tahun lalu berkata, usahawan harus keluar daripada zon selesa dan mengatur semula strategi jualan yang bersesuaian bagi memastikan urusan jual beli terus berjalan walaupun jumlahnya yang berkurang, khususnya dalam ketidaktentuan situasi semasa kerana wabak ini.

Menurut Zaharah Zainuddin yang mengeluarkan daging burger di bawah jenama Akie Burger, walaupun pandemik COVID-19 telah menjejaskan banyak perniagaan di serata dunia, namun ia tidak harus dilihat sebagai satu masalah besar, sebaliknya fokus harus diberikan untuk mencari jalan agar kelestarian perniagaan mereka dapat diteruskan dalam apa jua keadaan.

“Contohnya sepanjang tempoh PKP ini, kerajaan telah menghadkan waktu perniagaan sehingga jam 8 malam sahaja yang mengakibatkan ramai yang tidak dapat meneruskan aktiviti perniagaan seperti biasa, termasuklah kami di Akie Burger yang mana rata-rata 68 usahawan di bawah kami menjalankan perniagaan burger mereka pada waktu malam. Oleh itu, saya tidak boleh mengambil keputusan untuk terus tidak berniaga, apa yang saya lakukan adalah saya akan tetap membuka perniagaan dan mengatur semula jadual pekerja saya dan terus ke kilang seperti biasa untuk memproses daging burger.

“Ini kerana saya yakin walau dalam keadaan apa jua sekali pun, mesti akan ada pembeli, jika tidak hari ini, esok pasti yang akan ada yang datang membeli. Pada saya, adalah penting untuk memastikan wang jualan terus masuk secara konsisten walaupun tidak banyak, oleh itu saya harus terus bertenang dalam menghadapi situasi ini. Namun apabila peluang terbuka pada masa hadapan, usahawan harus pantas merebut peluang dan menggandakan usaha mereka dalam meningkatkan jualan perniagaan mereka,” tambahnya.  

Katanya, usahawan harus cekap dalam mengendalikan kewangan dan mengurus perbelanjaan dengan bijak selain merebut peluang untuk mendapatkan bantuan-bantuan kewangan yang ditawarkan oleh kerajaan seperti kemudahan pembiayaan untuk membantu PKS yang terkesan akibat COVID‑19 dan moratorium bagi meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Sementara itu, Norsyakirah dari Wezlay Enterprise yang menghasilkan pizza sejuk beku dan pizza siap dibakar berkata, beliau terpaksa menutup perniagaan selama satu bulan di awal pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu dan berdepan masalah pembayaran gaji pekerja.

“Saya tidak dapat membayar gaji pekerja pada ketika itu, tetapi dengan bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan dan sokongan berterusan daripada Agrobank, saya telah berjaya keluar daripada permasalahan itu dan kini mampu bersaing setanding jenama pizza terkemuka di Malaysia dengan menawarkan 20 jenis pizza mengikut citarasa tempatan dan barat.

“Saya telah mengatur semula peniagaan, selain melantik ejen-ejen jualan yang terdiri daripada suri rumah di kawasan sekitar Jengka di Pahang. Saya juga turut mengubah sasaran pelanggan produk pizza keluaran saya, yang mana jika sebelum ini merupakan pelajar universiti di sekitar Jengka kepada kelompok keluarga pula. Saya juga memindahkan premis saya ke ruang yang lebih besar agar dapat mematuhi SOP yang ditetapkan. Selain itu saya turut menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelanggan,” katanya.

Berkongsi perkara yang menjadi motivasi untuk terus berada di posisi yang lebih baik daripada setahun lalu, beliau berkata, situasi pendemik COVID-19 ini pastinya bukan penghalang untuk seseorang beroleh kejayaan, malah usahawan harus menumpukan kepada faktor-faktor lain seperti tahap kepuasan yang diperolehi dengan mengambil kira maklum balas daripada pelanggan, semangat tidak putus asa dan menggunakan kuasa media sosial sebaiknya bagi memasarkan produk kepada kelompok sasaran pelanggan.