Agrobank Sambut Baik Usaha Kerajaan Menyediakan Dana Pembiayaan Kredit Mikro Kepada Usahawan Bumiputera
KUALA LUMPUR, 3 MAC 2024 – Agrobank menyambut baik inisiatif kerajaan untuk meningkatkan akses kemudahan pembiayaan kredit mikro kepada usahawan bumiputera. Inisiatif ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “Agrobank sentiasa komited dalam meneruskan sinergi bersama pihak kerajaan untuk mempergiat pembiayaan kredit mikro secara proaktif supaya para usahawan seperti Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dapat menikmati manfaat yang diberikan kerajaan.”
Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin turut berkata, “Pembiayaan mikro Agrobank menawarkan bantuan kewangan yang mensasarkan usahawan yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran makanan dari sumber penanaman, ternakan serta perikanan tangkapan dan akuakultur. Peruntukkan dana yang diumumkan oleh kerajaan dapat membuka peluang kepada usahawan bumiputera sebagai pemain industri utama bagi membantu pembangunan sector pertanian yang lestari dan secara tidak langsung memampankan ekonomi negara”, ujar beliau. “Selain itu, pemerkasaan aktiviti pertanian adalah tunjang utama bagi menjamin sekuriti makanan negara serta membolehkan rakyat Malaysia mendapat akses kepada makanan yang mencukupi, berkhasiat dan selamat” tambah beliau.
“Pembiayaan mikro kredit ini bukan sahaja tertakluk kepada proses jual-beli produk makanan, tetapi merangkumi keseluruhan proses rantaian makanan termasuk pengeluaran hasil sumber, pemprosesan, pengedaran, pemasaran dan perkhidmatan penyediaan makanan,” ujarnya.
Melihat kehadapan, Agrobank juga berhasrat untuk menyokong pengembangan dalam ekonomi digital dan teknologi hijau dalam ekosistem perusahaan mikro. Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, “kerajaan akan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion melalui Institusi Kewangan Pembangunan seperti BSN, Agrobank, dan TEKUN Nasional bagi menyediakan sokongan kepada pelbagai segmen usahawan Bumiputera termasuklah wanita, belia dan veteran tentera serta penjaja, pekerja gig dan pengusaha food truck.”