Agrobank Perkasa Usahawan Sarawak Sebanyak RM4 Juta Melalui Dana Tambahan Skim Kredit Mikro Sarawak
SARAWAK, 13 MEI 2024 – Agrobank hari ini menerima Dana Tambahan Skim Kredit Mikro Sarawak berjumlah RM4 juta daripada Kerajaan Negeri Sarawak. Majlis penyerahan replika cek dana tambahan ini diadakan di Majlis Rumah Terbuka Agrobank Cawangan Sarawak yang bertempat di Waterfront Hotel, Kuching, Sarawak.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “Melalui dana tambahan yang disalurkan oleh kerajaan negeri, ia memberi manfaat kepada golongan B40 dan para usahawan tempatan di Sarawak dalam memperkasakan usahawan mikro dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).”
“Agrobank bukan sahaja komited dalam memperuntukkan dana dalam sektor pertanian, malah turut menawarkan pembiayaan dalam sektor servis dan perkhidmatan terutamanya yang menyumbang kepada sistem rantaian makanan. Oleh itu, dana tambahan skim kredit mikro ini lebih membuka peluang kepada pemain industri pertanian, perikanan dan penternakan di Sarawak untuk menggiatkan ekonomi negara,” tambah beliau.
Majlis penyerahan replika cek Dana Tambahan Skim Kredit Mikro Sarawak telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Haji Mohd Naroden bin Haji Majais Penasihat Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) kepada Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin. Penyerahan tersebut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak juga selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.
Pihak Agrobank dan rakan strategiknya Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) telah mengadakan kolaborasi dalam membangunkan industri pertanian, penternakan dan perikanan di Sarawak. Pada majlis yang sama, pihak Agrobank juga mengadakan simbolik penyerahan kelulusan pembiayaan kepada anak syarikat Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) bagi membiayai projek ternakan udang berskala besar dan komersial. Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pengarah Wilayah Agrobank Sarawak En. Abdul Halek bin Abdullah kepada Encik Sim Ing Jye, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Rambungan Aqua Life Sdn. Bhd.
Penyerahan tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) juga selaku Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), YB Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail.
Untuk maklumat lanjut tentang Skim Kredit Mikro Sarawak, sila layari laman sesawang www.agrobank.com.my atau berkunjung ke Agrobank cawangan Sarawak.