AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Luluskan Pembiayaan Program DPAKM Dan DPA2 Peringkat Negeri Pahang Berjumlah RM41,007,500



CAMERON HIGHLANDS, 25 OKTOBER 2022 – Agrobank telah menyampaikan replika cek berjumlah RM41,007,500 kepada wakil penerima Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) dan Dana Pembiayaan Agromakanan 2 (DPA2) peringkat negeri Pahang pada 23 Oktober 2022. Penyerahan replika cek ini telah disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, “Setakat 15 Oktober 2022, Agrobank menerusi pejabat Wilayah Pahang telah menerima 304 permohonan DPAKM dengan nilai RM75 juta. Daripada jumlah ini, sebanyak 187 permohonan telah diluluskan di bawah program DPAKM dan DPA2 dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM41 juta. Kami kini senang memproses pembiayaan daripada dana ini dan dijangka akan diluluskan pada tahun ini.

“Pelaksanaan program DPAKM dan DPA2 yang diperuntukkan sebanyak RM1 bilion di bawah Agrobank ini dilaksanakan bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan negara sekali gus memperkasakan sektor pengeluaran makanan. Menerusi program ini, Agrobank berharap agar ia dapat dimanfaatkan lebih ramai usahawan di seluruh negara,” katanya.

“Apa yang menariknya program DPAKM ini menawarkan tempoh pembiayaan yang kompetitif sehingga 8.5 tahun dengan kadar keuntungan serendah 3%.  Selain daripada itu, bagi tempoh enam (6) bulan pertama, Agrobank turut memberikan moratorium secara automatik pada kadar keuntungan 0% dan ini bermakna para pelanggan akan dikenakan kadar keuntungan serendah 3% hanya pada bulan ke-7 pembiayaan dan seterusnya,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, “Selain program pembiayaan lain di bawah DPAKM ini, kami di Agrobank turut menawarkan Program Pemulih NewBiz yang merupakan salah satu inisiatif berterusan Agrobank, dalam memainkan peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam sektor pertanian.”

“Ini bagi memenuhi tanggungjawab ‘melangkaui perbankan’ dengan menawarkan pelbagai kemudahan yang dapat membantu komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan (unserved and underserved communities) seperti asnaf selain menyokong individu yang tidak mempunyai pekerjaan namun sentiasa mencari peluang baharu untuk menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf sosio-ekonomi diri dan keluarga,” katanya.

“Oleh itu, Agrobank amat mengalu-alukan rakyat Malaysia yang terkesan dek cabaran ekonomi semasa untuk terus berkunjung ke cawangan Agrobank terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Pembiayaan Pemulih NewBiz secara lebih terperinci melalui pegawai-pegawai Agrobank kami di seluruh Malaysia,” tambah Tengku Ahmad Badli Shah lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program DPAKM, DPA2 dan Pemulih NewBiz, sila layari laman web Agrobank di www.agrobank.com.my atau hubungi pusat perkhidmatan pelanggan kami di 1300 88 2476 atau terus berkunjung ke cawangan terdekat Agrobank.