AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank lancar mesin ATM bantu komuniti luar bandar di Sabah



BELURAN – Agrobank hari ini melancarkan Mesin Teler Automatik (ATM) dan Mesin Deposit Tunai (CDM) di Pekan Baru Botition berhampiran Beluran sebagai salah satu usaha untuk memberikan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat di kawasan luar bandar terutamanya di negeri Sabah. Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah.

Pekan Baru Botition merupakan bandar baharu yang pesat dengan pertumbuhan dan kegiatan pertanian seperti ladang kelapa sawit, kilang kelapa sawit dan penternakan burung walit. Industri burung walit ini dikenalpasti sebagai sumber kekayaan baharu untuk diterokai selain industri durian, kelapa, jagung dan tenusu di kawasan tersebut. Pekan Baru Botition yang sejauh 200km dari Sandakan merupakan lokasi strategik adalah sesuai untuk penternakan burung walit.

Dengan potensi perkembangan aktiviti ekonomi di kawasan ini, Agrobank bersedia membantu memacu aktiviti ekonomi dengan penyediaan kewangan asas seperti kemudahan mesin ATM dan CDM. 

Menurut YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank, dengan adanya mesin ATM dan CDM ini, Agrobank dapat memberikan perkhidmatan perbankan asas untuk komuniti luar bandar selaras dengan usaha Bank untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang kurang mendapat perhatian (unserved & underserved) terutamanya di kawasan luar bandar.

“Sehingga kini, Agrobank mempunyai 17 cawangan dan 3 kiosk di  seluruh negeri Sabah. Dengan penambahan perkhidmatan terbaharu di Pekan Baru Botition ini akan terus menyokong masyarakat luar bandar dan meningkatkan ekonomi mereka ke tahap yang lebih baik. Ini juga merupakan inisiatif untuk menyokong matlamat Bank Negara Malaysia dalam meluaskan dan meningkatkan rangkuman kewangan (financial inclusion) di seluruh negara.  Lebih 71% cawangan Agrobank berada di kawasan luar bandar dalam usaha membantu golongan yang kurang mendapat liputan,” tambah beliau.

Dengan pelancaran mesin ATM dan CDM ini, seramai 37,000 orang penduduk di Pekan Baru Botition yang juga  terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut tidak lagi perlu pergi jauh ke bandar terdekat untuk membuat pengeluaran dan deposit wang mereka kerana mesin ini terletak di kawasan pekan. Sebelum ini, penduduk terpaksa ke bandar terdekat di pekan Telupid dan pekan Beluran yang mengambil masa sekurang-kurangnya 2 jam untuk membuat pengeluaran dan penyimpanan wang di Mesin ATM.  Kemudahan asas ini dijangka akan merancakkan lagi bisnes agro di kawasan ini. Ini mencerminkan sokongan dan inisiatif Bank untuk terus berkhidmat kepada masyarakat luar bandar di Sabah.

Turut hadir semasa majlis pelancaran adalah YB Datuk James Ratib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut dan Puan Masaat Awadz, yang menanggung tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank serta pemimpin-pemimpin tempatan.