Agrobank Lancar Perlindungan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) Untuk Sediakan Sokongan Kritikal Kepada Pesawah
SERDANG, 14 SEPTEMBER 2024 – Pesawah individu di seluruh negara kini boleh menarik nafas lega dan tidak perlu bimbang sekiranya tanaman padi diusahakan dilanda bencana alam seperti banjir dan kemarau atau diserang penyakit tanaman serta makhluk perosak.
Ini kerana buat julung kalinya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Agrobank melancarkan Skim Perlindungan Takaful Agromakanan: Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) pertama di Malaysia yang akan dimanafaatkan oleh para pesawah di Malaysia.
STTP yang merupakan perlindungan patuh shariah pertama diperkenalkan di Rantau Asia Tenggara ini diumumkan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Belanjawan 2024 dengan dana permulaan RM50 juta bagi memberi perlindungan kepada pesawah.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata “Perlindungan takaful ini menawarkan sehingga RM3,000 untuk bencana alam manakala bagi serangga perosak dan penyakit tanaman perlindungan sehingga RM1,500 daripada jumlah perlindungan asal semusim per hektar bagi setiap pesawah – ia jumlah yang lebih tinggi berbanding tabung bencana sedia ada.”
“Bagi tahun pertama pengenalannya, kerajaan menanggung sepenuhnya bayaran premium sebanyak RM120 setahun bagi setiap hektar untuk dua musim penanaman,”tambahnya.
Skim ini terbuka kepada semua pesawah individu di seluruh negara yang mendaftar dengan agensi yang diiktiraf Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Kaedah pendaftaran juga dipermudahkan dengan pesawah individu hanya perlu mendapatkan borang takaful di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan berhampiran. Ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu pesawah di seluruh negara ketika menghadapi bencana alam disamping memperkukuh rantaian makanan negara melalui inisiatif dilancarkan KPKM melalui Agrobank.
Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Takaful Tanaman Padi, sila layari www.agrobank.com.my atau boleh berkunjung ke cawangan Agrobank yang berdekatan.