Agrobank Perluas Perkhidmatan Cashless Atau Tanpa Tunai Untuk Memperkasa Peniaga PKS Di Pantai Timur
KUALA LUMPUR, 2 JULAI 2024 – Agrobank terus mempergiat usaha menerapkan system pembayaran digital dan transaksi cashless atau tanpa tunai kepada golongan peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta setiap lapisan masyarakat di negeri Kelantan, Pahang dan Terenggganu di bawah program Kembara Retail Sector Digitalization Initiative (ReDI). Inisiatif yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini bertujuan untuk merealisasikan agenda keterangkuman kewangan melalui ekosistem kewangan yang lebih mudah, selamat dan lancar dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Program Kembara Retail Sector Digitalization Initiative (ReDI) melibatkan lokasi-lokasi berikut sepanjang minggu ini.
I) Raub dan Kuala Lipis, Pahang: 2 Julai 2024
II) Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan: 3 Julai 2024
III) Kuala Besut, Kg. Raja, Alor Lintang dan Jerteh, Terengganu: 4 Julai 2024
Menurut Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Agrobank teruja untuk menyertai program ReDI ini bersama-sama dengan KPDN dan rakan kerjasama strategik dalam memperluaskan usaha transformasi ke arah kewangan dan perbankan digital di Pantai Timur. Melalui progran ini, kami dapat mempromosikan kemudahan QR Agrobank yang menawarkan urusan transaksi kewangan yang lebih pantas, selamat dan cekap, dan dapat dimanfaati oleh sekurang-kurangnya 50 peniaga di setiap lokasi jelajah kembara ini. Kami turut mensasarkan pendaftaran akaun baharu sebanyak 500 akaun di pengakhiran program ini.”
“Agrobank sentiasa komited dalam menyokong kesejahteraan golongan usahawan khususnya peniaga kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pertanian, perladangan dan perikanan. Melalui transformasi kewangan digital, kami mahu menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat di tiga negeri ini dengan menjana pertumbuhan dan kerancakan ekonomi, memesatkan perniagaan golongan PKS dan sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat di wilayah ini,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, ”Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada komuniti peniaga dan pengguna setakat ini, sambutan dan penerimaan mereka amat baik. Dengan beralih kepada transaksi tanpa tunai, peniaga dan pengguna mampu menikmati urus niaga yang lebih cepat, mudah dan selamat, tanpa keperluan untuk pengeluaran tunai di ATM. Ia juga dapat memastikan penjual dan peniaga boleh terus mendapat bayaran tanpa keperluan transaksi wang tunai dari pelanggan, tanpa kesulitan menyediakan duit kecil yang menjadikan urusan perniagaan lebih efisyen dan lancar, selain peluang untuk memperkembangkan perniagaan mereka.”