AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank jalin usahasama strategik bersama Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) untuk pemantapan industri pertanian



KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini menandatangani perjanjian kolaborasi strategik bersama Kolej Universiti Agrosains Malaysia atau UCAM. Perjanjian strategik ini khusus untuk usaha mewujudkan ‘cashless campus’ (kampus tanpa tunai) dan usaha mengalakkan penglibatan golongan muda yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan teknikal dalam bidang pertanian.

Melalui kolaborasi strategik ini, Agrobank menawarkan pengurusan penyelesaian tunai (cash management solution) kepada penuntut UCAM menerusi platform e-kampus yang menjurus kepada konsep transaksi bayaran tanpa tunai atau “cashless” dengan hanya menggunakan penggunaan kad pintar pelbagai fungsi yang menggabungkan ciri-ciri kad debit dan kad ID pelajar/kakitangan UCAM.

Kad pintar pelbagai fungsi ini boleh digunakan bukan sahaja untuk pengeluaran wang di ATM tetapi juga untuk semua urusan transaksi pembayaran termasuklah pembayaran yuran pelajar, pembayaran balik pinjaman, pembayaran bil elektrik, pembayaran bil makanan di kafé dan pelbagai khidmat lain yang bukan sahaja dapat digunakan di dalam, malah di luar kampus.

Selain dari itu, Agrobank turut menawarkan program pembangunan bina insan kepada penuntut UCAM khusus bagi memperkasakan industri pertanian menerusi pemantapan golongan pelapis dengan memberikan kemudahan kepada para pelajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai industri pertanian menerus pelbagai program yang ditawarkan oleh pihak bank.

Menurut Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank, sebagai sebuah bank yang sentiasa prihatin dan sensitif dengan keperluan komuniti pertanian, Agrobank sentiasa komited dalam melahirkan tenaga muda yang mampu mengeluarkan idea-idea baharu untuk pembangunan industri pertanian.

“Kepentingan generasi muda amat dititik beratkan dan menerusi usahasama ini juga, selain dari pemantapan dari segi fasiliti pelajar dan, Agrobank turut menawarkan peluang-peluang kepada pelajar cemerlang UCAM untuk menjadi warga kerja Agrobank dan diserap masuk untuk menjalani latihan industri di jabatan-jabatan terpilih di Agrobank, seperti Jabatan Perancangan Korporat dan Strategi, Jabatan Ekonomi dan Penyelidikan Industri, Jabatan Perniagaan dan jabatan-jabatan berkaitan terpilih yang lain.

Agrobank sebelum ini telah berkolaborasi dengan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan lain antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Universiti SEGI.