AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Rangkul Tiga Anugerah Di Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2022



KUALA LUMPUR, 13 DISEMBER – Agrobank telah merangkul tiga anugerah berprestij menerusi kempen dan inisiatif perhubungan awamnya pada Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2022 (MPRA 2022) yang diadakan pada Jumaat lalu.

Tiga anugerah tersebut adalah: (i) Anugerah Hal Ehwal Awam Terbaik bagi inisiatif dan pencapaian perhubungan awam di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Perlancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022); (ii) Anugerah Kempen Bersepadu Perhubungan Awam Terbaik bagi Kempen Hari Kebangsaan Agrobank bertemakan #Berbudi dan (iii) Anugerah Komuniti Kewangan Terbaik bagi Program Celik Wang iaitu program perdana pengurusan kewangan Agrobank khusus untuk pelajar sekolah.

Mengulas mengenai anugerah ini, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini untuk dua tahun berturut-turut oleh Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia di MPRA 2022.  Dengan aspirasi untuk mentransformasikan pertanian melangkaui perbankan, Agrobank sentiasa beriltizam untuk menyediakan solusi kewangan terbaik serta pendekatan yang holistik bagi produk dan perkhidmatannya menerusi pelan komunikasi dan kempen perhubungan awam berimpak tinggi dan pelbagai.”

“Anugerah ini adalah satu penghormatan kepada usaha dan komitmen berterusan bagi seluruh warga kerja Jabatan Pemasaran & Komunikasi di Agrobank.  Pengiktirafan ini melambangkan inisiatif kami dalam mengadaptasikan pelbagai saluran komunikasi khususnya dalam menyampaikan mesej dan nilai teras Bank kepada pengguna.  Usaha ini tidak hanya tertumpu kepada platform media, malah menerusi pelbagai saluran dan inisiatif berpaksikan akar umbi yang memberi tumpuan khusus dalam melestarikan transformasi sektor pertanian dan jaminan bekalan makanan di Malaysia,” tambah beliau.

“Tanggungjawab serta amanah dalam menyokong sektor pertanian serta meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti yang kurang mendapat liputan dan diberi perhatian telah sebati dengan DNA kami di Agrobank.  Justeru kejayaan anugerah ini menandakan inisiatif serta pendekatan unik kami yang berterusan dalam merealisasikan hasrat murni ini dapat dicapai sekali gus menggalakkan pembangunan sektor pertanian negara.”

“Melangkah ke hadapan, Agrobank akan terus meningkatkan strategi serta mengukuhkan peranan pembangunan kami sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dengan memacu pembangunan ekonomi sektor pertanian serta menyokong perniagaan berasaskan pertanian agar lebih berdaya saing.  Ini melibatkan pelbagai usaha dan simbiosis lain yang saling berhubung di sepanjang rantaian nilai pertanian yang turut melibatkan produk dan perkhidmatan Agrobank,” tambah Tengku Ahmad Badli Shah.

Pada majlis anugerah ini, Anugerah Hal Ehwal Awam di bawah Kategori Korporat merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi yang menggunakan saluran dan platform hal ehwal awam yang paling berkesan menerusi rangkaian inisiatif yang melibatkan penyelidikan, perhubungan media, capaian akar umbi komuniti sasar dan melobi melalui platform media yang unik, efektif dan pelbagai.

Sementara itu, Anugerah Kempen Bersepadu Perhubungan Awam Terbaik mengiktiraf inisiatif perhubungan awam dalaman yang berjaya menggunakan sekurang-kurangnya tiga saluran komunikasi yang berbeza dengan memberi penekanan kepada perancangan strategik perhubungan awam bagi memastikan konseptualisasi, pembangunan dan pelaksanaan kempen yang berimpak tinggi dapat dilaksanakan.

Bagi Anugerah Komuniti Kewangan Terbaik, penghormatan diberikan kepada organisasi yang berjaya mempamerkan kelestarian kempen yang paling berkesan dalam memastikan pembangunan sektor kewangan yang memfokuskan kepada inisiatif berteraskan industri kewangan dan pihak berkepentingannya.

Anugerah yang disampaikan ini telah diterima oleh Naib Presiden Kanan Pemasaran & Komunikasi Agrobank, Rosdi Effendi Mohammed Effendi dalam satu majlis yang diadakan di Aloft Kuala Lumpur Sentral pada Jumaat lalu.

MPRA ialah anugerah industri yang dianjurkan oleh PRCA Malaysia, iaitu sebuah organisasi yang didedikasikan khusus untuk memupuk kecemerlangan perhubungan awam, mengiktiraf kejayaan kempen dan pakar runding serta pengamal perhubungan awam yang mempamerkan hasil kerja yang berkesan seiiring dengan kemajuan arena perhubungan awam.