AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Rai Anak-Anak Asnaf Sempena Program Amal Bulan Ramadan



KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini menganjurkan Program Kasih Ramadan untuk meraikan anak-anak asnaf dari Pertubuhan Baitul Ehsan Al-Khairi. Selain membeli persiapan hari raya, anak-anak ini turut diberi pendedahan mengenai pengurusan kewangan berhemah dan sejarah kewangan mata wang.

Program bermula dari pagi dengan sesi “Celik Wang” dan lawatan ke Muzium dan Galeri Seni Bank Negara. Di sebelah petang, anak-anak asnaf dibawa ke Parkson Nu Sentral untuk membeli barang-barang kelengkapan raya bersama sukarelawan dari Agrobank.

Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur dan anak-anak ini menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan.

Menurut Tuan Syed Alwi, “Program Kasih Ramadan merupakan program CSR tahunan Agrobank di bulan Ramadan bagi meraikan anak-anak asnaf dan membantu mereka membuat persiapan untuk berhari raya.

Pada tahun ini, kita terapkan ilmu kewangan dan perbelanjaan berhemah dalam pengisian program agar anak-anak ini turut diberi ilmu asas menguruskan wang. Ini penting kerana kita membuat keputusan mengenai wang setiap hari apabila kita membeli dan membuat transaksi.

Program Kasih Ramadan telah dianjurkan selama tiga tahun semenjak tahun 2017 sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan oleh Agrobank dalam bulan Ramadan. Pada tahun ini, seramai 76 orang anak-anak asnaf dan 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Agrobank menyertai program ini.

“Kita berharap usaha kecil yang dijalankan dapat memberi kegembiraan dan keceriaan kepada anak-anak asnaf ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi,” tambah Tuan Syed Alwi.