AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Agrobank Buka Cawangan Ke-189 Di Sarawak



KOTA SAMARAHAN, SARAWAK – Agrobank telah meluaskan rangkaian cawangannya di Sarawak dengan pembukaan cawangan yang ke-189 di Kota Samarahan. Cawangan ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Shaberry Cheek, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pemilihan Kota Samarahan sebagai lokasi terbaharu Agrobank adalah berdasarkan peningkatan aktiviti pertanian dan perniagaan komersial. Cawangan di Kota Samarahan ini akan memanfaatkan potensi pertumbuhan ekonomi tempatan seterusnya mampu meningkatkan deposit sasaran Agrobank sebanyak RM3.88 juta dan pembiayaan sebanyak RM5.74 juta bagi tahun 2015.

Menurut Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, cawangan Agrobank di Kota Samarahan mempunyai potensi besar dalam membantu pertumbuhan ekonomi setempat kerana produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Agrobank tidak terhad kepada tujuan pengeluaran hasil pertanian semata-mata, malah meliputi semua proses di sepanjang rantaian nilai pertanian.

“Agrobank komited dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan kami optimis dengan pembukaan cawangan di Kota Samarahan kerana walaupun baharu sahaja dibuka Oktober tahun lalu, cawangan ini telah memberikan RM2.89 juta pembiayaan manakala jumlah deposit pula mencecah RM11.07 juta,” tambah beliau lagi.

Menteri Pertanian dan Asas Tani, Dato’ Sri Ahmad Shaberry Cheek turut memuji langkah Agrobank membuka satu lagi cawangan di Sarawak. “Pembukaan cawangan di Kota Samarahan ini diyakini akan mengekalkan momentum dalam pertumbuhan jumlah usahawan di negeri ini dimana pada tahun ini sahaja Sarawak berjaya menunjukkan peningkatan mendadak iaitu sebanyak 11 kali ganda iaitu bersamaan dengan 90,000 orang usahawan,” katanya.

YB Dato’ Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Anak Numpang menyatakan bahawa dengan penubuhan Agrobank di cawangan Kota Samarahan ini akan memberi manfaat kerana ia meluaskan perkhidmatan bank kepada masyarakat-masyarakat di luar bandar dan pada masa yang sama memastikan penduduk tempatan mendapat perkhidmatan perbankan. “Pembukaan cawangan Kota Samarahan ini bakal membuka peluang baru kepada penduduk tempatan dan saya yakin ia akan dimanfaatkan sebaiknya.” katanya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Tuan Nogeh Anak Gumbek, Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, YBhg. Dato’ Haji Azini Mohd Shahid.

Di majlis yang sama turut diadakan Majlis Menandatangani Persefahaman AgroAgent di antara Agrobank dengan lima agensi-agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Kerjasama persefahaman ini bertujuan bagi menetapkan hak eksklusif diberikan kepada Agrobank dalam penyediaan perkhidmatan ejen perbankan atau Ejen Bank Berdaftar di negeri Sarawak.

Selain itu, turut berlangsung penyerahan surat pembiayaan dengan nilai keseluruhan RM1.56 juta yang diberikan kepada 10 orang usahawan di Kota Samarahan. Di majlis yang sama juga, Agrobank turut mengumumkan pemenang “Gold for Gold” yang membawa pulang emas 24 karat bernilai RM60,000 yang dimenangi oleh Encik Ma Boon Siang.