AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Buka Cawangan Ke-140 Di Telupid, Sabah – Tingkat Perkhidmatan Perbankan Di Kawasan Luar Bandar



TELUPID, 27 MEI 2022 – Agrobank sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dengan fokus untuk membangunkan sektor pertanian, hari ini telah meluaskan rangkaian perbankannya di Sabah dengan pembukaan cawangannya yang ke-140 di Telupid, Sabah. Pembukaan cawangan ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Telupid dipilih sebagai lokasi terbaharu Agrobank kerana kegiatan ekonominya dalam sektor pertanian serta industri pemprosesan makanan khususnya dalam penternakan ikan, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta tanaman kelapa sawit dan getah. Luasan rangkaian perbankan ini merupakan antara komitmen berterusan Agrobank dalam memenuhi mandat yang telah didukung iaitu untuk membantu membangunkan golongan unserved dan underserved khususnya di kawasan luar bandar.

Dr. Ronald Kiandee berkata, “Telupid adalah sebuah daerah yang sangat sinonim dengan sektor pertanian seperti tanaman sayur-sayuran, penternakan ikan serta perladangan komoditi kelapa sawit dan getah. Oleh itu, pembukaan CawanganTelupid ini adalah amat tepat pada masanya dan diharapkan agar kegiatan ekonomi penduduk juga dapat terus dipertingkatkan terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang khusus untuk komuniti agromakanan dan juga peniaga-peniaga di Telupid dan kawasan-kawasan berdekatan.” 

Dr. Ronald Kiandee turut memuji langkah proaktif Agrobank dengan memilih Telupid untuk membuka rangkaian perbankannya di sini kerana kawasan ini terletak 232 kilometer dari Kota Kinabalu dan 130 kilometer daripada Sandakan. Ini ternyata menyukarkan penduduk Telupid untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan yang holistik seperti pembukaan akaun bank, perkhidmatan pembiayaan, ATM dan CDM dan lain-lain.

Pada tahun 2021, Agrobank telah membuka cawangannya di Beluran sebagai salah satu usaha untuk menawarkan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat luar bandar. Sebelum itu, penduduk di Kawasan Beluran terpaksa ke bandar Sandakan untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan, di mana jaraknya mencecah sejauh 82 kilometer.

Bagi menghargai sambutan pembukaan cawangan Telupid di kalangan penduduk setempat yang begitu memberangsangkan, di majlis yang sama, Agrobank turut mengumumkan pemberian hadiah wang saguhati daripada Agrobank sebanyak RM20 yang akan dikreditkan secara terus ke dalam 200 akaun Agrobank pertama yang dibuka di cawangan Telupid.

Mengulas mengenai pembukaan cawangan Telupid, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Demi menjamin kelestarian sektor pertanian negara, kami di Agrobank akan terus komited dan optimis untuk terus membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat menerusi produk dan perkhidmatan perbankan yang ditawarkan Agrobank yang memenuhi keperluan para pelanggan kami di sepanjang rantaian nilai pertanian dan agromakanan.” 

“Apatah lagi dengan jarak perjalanan yang jauh dari Kota Kinabalu dan Sandakan ke daerah ini, pembukaan cawangan di Telupid ini pastinya dapat membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan berkaitan perbankan yang dihadapi oleh golongan luar bandar dalam mendapatkan perkhidmatan perbankan. Saya berharap, cawangan ini akan dapat membantu komuniti setempat untuk merancakkan lagi sektor pertanian di daerah ini menerusi penawaran perkhidmatan perbankan kami sekali gus membantu meningkatkan kelestarian bekalan makanan negara,” tambah beliau.

Pada majlis yang sama, Dr. Ronald Kiandee juga turut menyampaikan surat tawaran pembiayaan di bawah program Keluarga Malaysia Guarantee Government Scheme kepada 89 Supersave Mini Market di sekitar Telupid.

Agrobank juga turut menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM10,000.00 kepada Parlimen Beluran untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan bagi membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh yang mencabar ini.

Turut hadir bersama adalah Datuk Badrul Hisham Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Md Afendi Bin Datuk Hamdan, Ahli Lembaga Pengarah Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Celestine Jetony, Pegawai Daerah Telupid dan Datin Fauziah Abu Bakar Titingan, Pengarah Wilayah Sabah Agrobank.