AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Terima Anugerah Laporan Penilaian Kendiri Pematuhan Terbaik Daripada PayNet Untuk Tiga Tahun Berturut-Turut



KUALA LUMPUR, 5 OKTOBER 2022 – Agrobank menerima pengiktirafan selepas diumumkan sebagai penerima tempat pertama bagi Anugerah Penilaian Pematuhan Kendiri Terbaik oleh Payment Network Malaysia (PayNet) di bawah Kategori Bank Kecil bagi tahun 2021. Agrobank telah menerima Anugerah Penilaian Pematuhan Kendiri Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut iaitu dari tahun 2019 sehingga tahun 2021.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, “Kami amat berbesar hati di atas pengiktirafan buat tahun ketiga berturut-turut ini. Anugerah ini membuktikan kecekapan kami dalam mengamalkan ‘budaya pematuhan’ di tempat kerja bagi memastikan kemampuan operasi Bank, ketepatan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) dan pematuhan yang kukuh. Ini menjadikan Agrobank sentiasa bertanggungjawab dalam pematuhan Bank sejajar dengan undang-undang, peraturan, garis panduan dan spesifikasi yang berkaitan dengan perniagaan Bank.”

“Garis panduan bagi Penilaian Pematuhan untuk Penyertaan Peraturan dan Prosedur Operasi untuk perkhidmatan PayNet mula diperkenalkan pada tahun 2013. Setiap tahun, Jabatan Pematuhan Kawal Selia Agrobank akan menjalankan penilaian untuk menilai pematuhan Bank terhadap Peraturan Penyertaan dan Prosedur Operasi yang dikeluarkan oleh PayNet,” kata Tengku Ahmad Badli Shah.

“Penilaian kendiri yang dihantar kemudiannya akan dinilai berdasarkan liputan dan skop kerja, ketidakpatuhan yang didedahkan, ketepatan pelaporan dan penilaian tematik sekali gus melayakkan Agrobank menerima pengiktirafan ini. Pengiktirafan ini membuktikan dedikasi kami di Agrobank untuk memastikan semua proses dan inisiatif kami adalah selari dengan objektif perniagaan serta keseluruhan strategi perniagaan Bank dalam mengurus risiko pematuhan dengan lebih baik,” tambah beliau.

Anugerah ini telah disampaikan oleh Ken Yon, Pengarah Risiko dan Pematuhan PayNet kepada Vincent Andrew, Ketua Bahagian Jaminan Kawal Selia Agrobank dan Farahaini Jupri, Penolong Pengurus Bahagian Jaminan Kawal Selia Agrobank ketika ‘PayNet Compliance Engagement Session 2022’ pada 21 September 2022.