AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank anjur Program ’Huat Ah Shopping Spree’, bawa pelajar B40 di Sabah penuhi keperluan Perayaan Tahun Baharu Cina



KOTA KINABALU – Agrobank menganjurkan program ’Huat Ah Shopping Spree’, sebuah inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank untuk meringankan beban perbelanjaan persiapan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang melibatkan pelajar-pelajar daripada keluarga kumpulan B40 di  sekitar Kota Kinabalu. Program yang julung kali dianjurkan Agrobank ini telah membabitkan kira-kira 40 pelajar  daripada latar belakang keluarga B40 berusia di antara tujuh hingga 12 tahun daripada 11 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dari sekitar Kota Kinabalu telah dipilih.Wang tunai sebanyak RM200 diperuntukkan kepada setiap pelajar yang dibelanjakan dengan bantuan sukarelawan Agrobank untuk membeli pakaian baharu sempena perayaan Tahun Baharu Cina serta keperluan asas yang lain bagi memenuhi keinginan peribadi mereka.

Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata,”Agrobank mahu mendekati dan memahami sendiri keperluan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan dengan membawa mereka membeli belah dan memilih sendiri pakaian dan kasut baharu yang mereka idamkan.” ”Usaha ini juga merupakan salah satu daripada inisiatif melangkaui perbankan Agrobank untuk terus menyokong dan membantu komuniti setempat dalam memenuhi impian kecil dan sekali gus meringankan beban keluarga mereka.”

“Selain membeli keperluan Tahun Baharu Cina, pelajar-pelajar ini turut diberikan pendedahan mengenai pengurusan wang secara berhemah dan bijak sebagai pendedahan awal kepada kaedah pengurusan wang yang betul di awal usia.” beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Kempen Kemakmuran ”Huat Ah” Tahun Baharu Cina Agrobank pada 18 Januari lalu. Tengku Ahmad Badli Shah turut menemani Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Chan Foong Hin yang meluangkan masa bersama pelajar-pelajar ini di Program ’Huat Ah Shopping Spree’ yang bermula dengan aktiviti membawa pelajar melawat Aquascape Centre di Kota Kinabalu, diikuti dengan program ”Shopping Spree’ pada sebelah petang di mana pelajar di bawa membeli ’baju raya’ bersama sukarelawan bank di pusat membeli belah Parkson di Imago Mall di sini.

Pelajar-pelajar juga diraikan dengan majlis makan tengah hari di Hotel Hyatt Regency Kinabalu di mana pelajar turut diberikan pendedahan mengenai ilmu pengurusan kewangan menerusi ’Program Celik Wang’ Agrobank. Program diakhiri dengan majlis minum petang di The Pacific Sutera Hotel, Sutera Harbour Resort di mana pelajar-pelajar tersebut serta 15 penghuni rumah orang tua Comfort Aged Care Center menerima sumbangan ang pau Tahun Baharu Cina daripada Chan Foong Hin dan Tengku Ahmad Badli Shah.