AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Dan SJPP Meterai Perjanjian Bantu Usahawan Pulih Depani Pandemik COVID-19 Di Bawah Skim Jaminan Kerajaan Keluarga Malaysia



KUALA LUMPUR – Agrobank dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) memeterai perjanjian bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana (MSC), untuk pulih dan membangun lebih kukuh dalam fasa pemulihan semasa di bawah Skim Jaminan Kerajaan Keluarga Malaysia.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, skim pembiayaan itu dibuka kepada kumpulan sasaran yang lebih luas iaitu kumpulan PKS dan MSC di Malaysia yang mempunyai pendapatan tahunan tidak melebihi RM250 juta.

“Skim ini dibangunkan berikutan Pakej Bantuan PEMULIH yang diumumkan pada 28 Jun 2021 dengan peruntukan RM20 bilion Jaminan Kerajaan di bawah Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS). Ia dibuka kepada usahawan yang memerlukan bantuan aliran tunai untuk pulih dan membangunkan semula perniagaan mereka dalam menghadapi fasa pemulihan ekonomi ekoran pandemik COVID-19 pada ketika ini.

“PKS dan MSC yang memerlukan bantuan, boleh memohon dan menggunapakai kemudahan pembiayaan ini untuk dijadikan modal kerja baharu atau tambahan dan/atau dijadikan modal perbelanjaan untuk membeli peralatan bagi menambahbaik landskap perniagaan mereka,” beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani ‘Surat Tawaran’ pemeteraian perjanjian skim tersebut di antara Agrobank dan SJPP yang berlangsung baru-baru ini.

Surat Tawaran itu, ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi dan Ketua Pegawai Operasi SJPP, Juanita Rusmini Abdul Jalil, disaksikan Tengku Ahmad Badli Shah dan Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng serta delegasi pengurusan kanan Agrobank dan SJPP

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, usahasama di antara Agrobank dan SJPP ini adalah bertepatan dengan hala tuju Bank pada tahun 2022, iaitu fokus untuk memudahkan proses pemulihan ekonomi di kalangan pemilik perniagaan dan menambahbaik sektor pertanian negara.

Beliau berkata, kerjasama antara Agrobank dan SJPP dalam membantu PKS untuk mendapat akses pembiayaan ini adalah khusus bagi syarikat yang terlibat dalam industri berasaskan pertanian dan ia adalah bertepatan kerana sektor pertanian atau khususnya sektor agro-makanan terus berkembang sebagai salah satu enjin pertumbuhan penting bagi ekonomi negara. Masa hadapan bagi sektor pertanian bagi dekad berikutnya kelihatan lebih cerah walaupun berdepan cabaran global seperti perubahan iklim, peningkatan populasi dan kekurangan sumber.

“Antara ciri unik skim ini adalah ia telah distruktur agar lebih banyak PKS dan MSC di Malaysia yang akan mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan ini, agar mereka pulih daripada perubahan dalam pendapatan dan masalah rizab tunai yang semakin berkurangan akibat pendemik COVID-19. Kemudahan kewangan itu bagaimanapun, tidak boleh digunakan untuk membiayai semula kemudahan sedia ada yang diberikan oleh institusi kewangan yang sama atau lain yang turut mengambil bahagian.

“Kemudahan pembiayaan ini dibuka sehingga 31 Disember 2022 dan sangat bermanfaat bagi syarikat baharu dengan sekurang-kurangnya tempoh pengoperasian enam (6) bulan sehingga kurang tiga tahun,” tambahnya.

Jenis pembiayaan yang terpakai di bawah KMGGS bagi usahasama ini adalah Pembiayaan Berjangka-i, Agro Cash Line-i, Kemudahan Perdagangan-i dan Modal Kerja-i. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ini, sila layari laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my  atau hubungi perkhidmatan pelanggan di 1300 88 2476 atau kunjungi cawangan Agrobank.

Sementara itu, Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng berkata, kerajaan menerusi SJPP komited untuk menyalurkan sokongan berterusan kepada PKS dan juga MSC menerusi pelbagai inisiatif termasuk peruntukan RM20 bilion Jaminan Kerajaan dibawah PGGS.

“Ini akan membantu PKS dan MSC yang layak, mendapatkan pembiayaan tambahan yang amat diperlukan, penstrukturan semula pembiayaan sedia ada dan/atau tambahan bagi modal kerja untuk menyokong mereka dalam memulihkan perniagaan mereka serta mengurangkan beban pembiayaan mereka,” kata Chen.

Selain itu, peruntukan tambahan RM10 bilion Jaminan Kerajaan (termasuk RM2 bilion bagi Bumiputera) turut diumumkan dalam Bajet 2022, telah meningkatkan had PGGS daripada RM20 bilion kepada RM30 bilion untuk kedua-dua PKS dan MSC.

Antara ciri utama dan faedah PGGS yang ditambah baik ialah:

  • Terbuka kepada PKS dan MSC dalam semua industri dengan pendapatan tahunan tidak melebihi RM500 juta berdasarkan akaun teraudit atau pulangan cukai pendapatan mereka (sebelum ini RM250 juta).
  • Menjamin perlindungan sebanyak 80% oleh kerajaan untuk kemudahan pembiayaan baharu serta penstrukturan semula kemudahan pembiayaan sedia ada dengan pembiayaan tambahan modal kerja untuk PKS dan MSC ini untuk menggiatkan semula perniagaan mereka.
  • Moratorium 12 bulan dan tempoh lanjutan minimum tiga tahun untuk mengurangkan beban kewangan syarikat yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Chen berkata, SJPP berbesar hati untuk bekerjasama dengan Agrobank sebagai salah satu IKP yang terkemuka untuk membantu kedua-dua PKS dan MSC. SJPP memperuntukkan RM800 juta di bawah PGGS untuk kemudahan pembiayaan bagi pelanggan AgroBank.

“Fi jaminan kami antara 0.75% hingga 1.0% setahun, ditambah pula dengan sokongan Jaminan Kerajaan, perusahaan-perusahaan yang terbabit akan ditawarkan dengan kadar pembiayaan yang kompetitif oleh institusi-institusi kewangan, sehingga RM20 juta,” katanya.

Skim Jaminan Kerajaan yang telah diwujudkan oleh kerajaan dan diuruskan oleh SJPP telah memanfaatkan kebanyakan PKS dalam industri seperti dalam pembuatan, perkhidmatan, peruncitan dan perdagangan.

Sehingga kini, lebih RM47.0 bilion jaminan telah diberikan kepada lebih 45,000 PKS dan peruntukan itu telah membantu mereka untuk mengekalkan perniagaan mereka terutamanya sepanjang tempoh pandemik COVID-19, serta menyediakan beberapa rizab kewangan untuk keperluan modal kerja mereka. dalam tempoh pemulihan ekonomi ini.

“Kami di SJPP percaya akan keperluan program pembangunan PKS dan MSC yang sihat dan memberangsangkan, yang memainkan peranan penting dalam proses transformasi ekonomi negara, justeru itu, kami bekerja secara rapat dengan institusi kewangan yang mengambil bahagian untuk menyokong inisitif kerajaan menerusi skim-skim jaminan yang ditawarkan menerusi SJPP,” kata Chen.

Untuk maklumat lanjut mengenai PGGS atau skim jaminan kerajaan yang lain, sila layari laman sesawang SJPP di www.sjpp.com.my.