Agrobank Bantu Peneroka Felda Miliki Kediaman Selesa Dengan Dana Pembiayaan Rumah RM200 Juta
KUALA LUMPUR, 13 JULAI 2024 – Agrobank mengukuhkan komitmennya terhadap kesejahteraan peneroka melalui peruntukan dana pembiayaan sebanyak RM200 juta kepada peneroka yang layak menerusi Program Kediaman Mampu Milik-i. Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, menyampaikan replika cek kepada Timbalan Pengarah Besar Servis Korporat FELDA, Mahadzir Mustafa hari ini sebagai simbolik sokongan Agrobank dalam merealisasikan impian peneroka FELDA memiliki rumah pertama. Skim pembiayaan ini menjadi bukti dedikasi Agrobank dalam memperkasa komuniti peneroka, selaras dengan sambutan Hari Peneroka FELDA yang penuh bermakna di MAEPS, Serdang.
Kerjasama erat antara Agrobank dan FELDA yang terjalin sejak 2020 terus membuahkan hasil positif dalam memperkasa kesejahteraan peneroka. Melalui Program Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF), Agrobank bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan Program Kediaman Mampu Milik-i dengan peruntukan besar pada tahun ini, malah turut menambah baik syarat pembiayaan serta menawarkan kadar keuntungan yang lebih rendah untuk pemohon yang layak. Kolaborasi strategik ini diteruskan pada tahun 2021 dengan pembentukan model baharu Program Pembangunan Peneroka (PPP) bernilai RM100 juta, bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi warga peneroka secara holistik.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Rumah adalah satu keperluan asas yang diperlukan oleh setiap individu sebagai tempat berlindung. Keinginan untuk memiliki sebuah rumah dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat kerana ramai yang sedia maklum bahawa ianya adalah aset jangka masa yang panjang. Walau bagaimanapun, harga rumah dan tanah yang kian meningkat menyebabkan faktor kewangan menjadi isu utama dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman mereka sendiri terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dalam industri pertanian.”
Beliau menambah, “Setakat ini, sambutan terhadap kemudahan pembiayaan ini amat memberangsangkan, dengan jumlah permohonan mencecah RM137 juta. Daripada jumlah tersebut, Agrobank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM59 juta kepada pemohon yang layak, membuktikan komitmen kami dalam membantu peneroka FELDA merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri.
Pasukan Agrobank dan Felda telah berkerjasama menyokong kuat Program Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF), di pelbagai lokasi strategik di seluruh negara, antaranya ialah Felda Inas, Felda Keratong, Felda Padang Piol, Felda Pasir Besar, Felda Selendang, Felda Selancar, Felda Pasoh, Felda Sungai Koyan, Felda Sungai Tiang, dan Felda Laka Selatan. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Agrobank untuk memastikan kemudahan pembiayaan ini dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai peneroka FELDA di seluruh pelosok negara.
Turut hadir di majlis yang sama adalah Pengerusi Agrobank Datuk Yunos bin Abdul Ghani dan Pengerusi FELDA Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.