AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Mengenai Agrobank

Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia.

Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.

 

Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian. Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian. Menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian. Juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Dilaksanakan menerusi 192 buah rangkaian untuk pelanggan Bank merangkumi 138 cawangan, 1 perbankan agro, 1 perbankan maya, 10 pusat pembiayaan komersial, 34 kiosk, 8 sudut & pusat agro.

Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.

*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.

Penubuhan Agrobank

Bank Pertanian Malaysia (BPM) ditubuhkan pada 1969 bagi membiayai projek pengairan untuk menampung penanaman padi dwimusim di Kedah dan Perlis, yang dikenali sebagai kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Dengan penubuhan BPM untuk menyalurkan bantuan kredit kepada para petani, BPM kemudiannya telah membuka dua buah cawangan, iaitu yang pertama di Alor Setar, Kedah pada April 1970 dan yang kedua di Kota Bharu, Kelantan. Menjelang 1980, BPM berjaya tampil sebagai penyedia perkhidmatan kredit terbesar kepada sektor pertanian luar bandar.

Berpandukan kelulusan Rang Undang-undang BPMB pada 19 Disember 2007, BPM diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan dikenali secara komersial sebagai Agrobank iaitu sebuah bank milik Kerajaan di bawah pengawasan Menteri Kewangan Diperbadankan. Dengan tumpuan kepada pertanian, pembiayaan Agrobank bagi sektor pertanian adalah berpandukan dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Berkuatkuasa 1 Julai 2015, Agrobank secara rasminya beroperasi sebagai bank perbankan Islam sepenuhnya. Dengan perkembangan pesat sektor perbankan Islam di negara ini, peralihan Agrobank kepada sistem perbankan Islam sememangnya merupakan perkembangan yang positif. Peralihan ini membolehkan Agrobank menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan Islam bagi memenuhi keperluan industri makanan halal. Urusniaga-urusniaga patuh Syariah yang mendokong produk halal ini seterusnya membantu meningkatkan lagi keyakinan para pelabur dan pengguna terhadap status halal yang terdapat pada produk halal keluaran Malaysia.