AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Perkongsian Strategik Bancatakaful Antara Takaful Malaysia dan Agrobank



KUALA LUMPUR – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (“Takaful Malaysia Keluarga”), pengendali takaful PERTAMA di Malaysia dan anak syarikat milik penuhnya, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (“Takaful Malaysia Am”), telah memeterai perkongsian strategik bancatakaful bersama Bank Pertanian Malaysia Berhad (“Agrobank”), peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (“VBI”) yang berpusat di Malaysia. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, turut hadir menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (“MOU”) ini.

Perkongsian strategik bancatakaful ini bakal memberi Takaful Malaysia akses kepada pangkalan pelanggan, rangkaian cawangan dan tenaga jualan Agrobank. Manakala Agrobank akan dapat meluaskan rangkaian produk Takaful Malaysia untuk memenuhi keperluan perlindungan dan nilai yang lebih tinggi untuk pelanggannya.

Perkongsian strategik bancatakaful antara Takaful Malaysia Keluarga dan Takaful Malaysia Am dengan Agrobank, yang bermula dari 1 Disember 2022 hingga 31 Disember 2027, menyaksikan syarikat terkemuka dalam industri perkhidmatan kewangan bekerjasama melalui gabungan kepakaran dan kekuatan. Takaful Malaysia Keluarga dan Takaful Malaysia Am membentuk pakatan strategik dengan Agrobank untuk mempromosi dan memasarkan produk takaful keluarga dan am berkaitan kredit di samping membangunkan penasihat perniagaan takaful keluarga.

Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, berkata, “Sebagai perintis dalam industri takaful, kami telah siap siaga dengan peluang untuk membawa penyelesaian takaful kami bagi memenuhi keperluan perlindungan pelanggan Agrobank. Perkongsian strategik ini akan memberi akses kepada pelanggan Agrobank keselamatan kewangan yang lebih baik melalui produk takaful am dan keluarga berkaitan kredit yang komprehensif dan mampu milik. Kerjasama kami dengan Agrobank adalah bertepatan pada masanya untuk mengukuhkan portfolio bancatakaful sebagai salah satu pemacu perniagaan utama dengan mengenal pasti peluang pasaran untuk mengekalkan kedudukan kukuh kami dalam industri takaful.”

“Kami juga memperuntukkan RM1 juta setiap tahun sepanjang perkongsian bancatakaful ini untuk pelanggan Agrobank yang merupakan Asnaf atau penerima zakat, selaras dengan falsafah korporat kami untuk memperbaiki kehidupan dan menyumbang ke arah masyarakat penyayang,” kata Nor Azman Zainal.

Hadir pada majlis menandatangani MOU ialah Mohamed Sabri Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am;  Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Dato’ Mohammed Hussein, Pengerusi Takaful Malaysia Keluarga; Tuan Haji Ibrahim Hassan, Ahli Lembaga Pengarah Agrobank; Firozdin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Bancatakaful Takaful Malaysia Keluarga dan Mohamad Taufik Mahamad Zakaria, Ketua Pegawai Strategi Agrobank. 
 
Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Usahasama ini telah membuka akses yang lebih luas kepada Agrobank untuk mengubah dan mencapai pencapaian baharu di bawah segmen takaful untuk menyalurkan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada kumpulan sasaran yang dimandatkan termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi berkaitan.”

Beliau berkata, usahasama ini akan menyediakan solusi takaful kepada semua pelanggan Agrobank dengan sasaran untuk membangunkan sekurang-kurangnya dua (2) produk takaful (pelan perlindungan) setiap tahun khusus bagi memenuhi keperluan komuniti perniagaan di sektor pertanian seperti golongan petani (penternak dan peladang) dan nelayan yang sebelum ini bukan merupakan fokus utama pemain industri.
 
“Sebagai tambahan kepada pelan perlindungan tersebut, produk takaful khusus seperti pelan rancangan persaraan, pendidikan dan perubatan mampu milik akan diperkenalkan kepada agropreneur daripada komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan seperti kumpulan B40, asnaf, wanita dan orang kelainan upaya (OKU) ini. Langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ’Melangkaui Perbankan’ Bank untuk merapatkan lagi jurang perlindungan takaful terutamanya di kalangan masyarakat luar bandar selain menjamin masa hadapan ketika berdepan situasi sukar,” kata Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah.

“Kami akan terus memanfaatkan kedudukan pasaran utama dalam produk berkaitan kredit, perniagaan takaful am yang kukuh serta fokus terhadap pengembangan pasaran runcit untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dan memastikan perniagaan mampan di masa hadapan untuk melengkapkan perniagaan teras kami yang sedia ada. Perkongsian strategik di antara bancatakaful dengan Agrobank ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui sinergi yang lebih besar dengan memanfaatkan rangkaian pengedaran dan pangkalan pelanggan Agrobank serta rangkaian penyelesaian perlindungan takaful keluarga dan am yang luas kami,” kata Nor Azman Zainal.