AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Usahawan Diseru untuk Mempunyai Perancangan Kewangan yang Baik Hadapi Pasca Moratorium



KUALA LUMPUR – Usahawan diseru untuk mempunyai perancangan kewangan yang baik dan harus bijak menggunakan kemudahan moratorium dan pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan seperti Agrobank dengan berani berinovasi dan meneroka cabang baharu perniagaan agar terus bertahan dalam menghadapai situasi semasa dan pasca moratorium.

Kenyataan itu dikongsi dua usahawan tani muda Agrobank iaitu Micheal Chew Heng Hao, Pengurus Kualiti Pengeluaran Jaya Nets Sdn Bhd dan Ramana K. Naidu, Pengarah Urusan Famox Plantation dan disokong oleh Ahmad Shahril Mohd Shariff, Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank pada sesi dialog bertajuk “Pasca Moratorium: Bersediakan Usahawan Agro?”  di sesi webinar Agrobank, UMBI AGRO siri kedua yang dikendalikan oleh Ainul Rofidza Ibrahim, Ketua Jabatan Komunikasi Strategik Agrobank pada Selasa lepas.

Micheal Chew yang mengusahakan perniagaan pembuatan jaring dan tali bagi industri perikanan berkata, usahawan harus mempunyai perancangan kewangan yang baik dan sekaligus harus berani berinovasi dengan mengambil peluang kemudahan moratorium sebagai penyuntik modal perniagaan baharu di samping mengukuh dan mengekalkan posisi perniagaan sedia ada mereka.

“Seperti ramai yang lain, syarikat kami juga mengambil kemudahan moratorium yang ditawarkan oleh Agrobank, namun yang lebih penting adalah bagaimana kami di Jaya Nets dan usahawan lain mengambil peluang daripada kemudahan moratorium ini dengan mempunyai perancangan untuk menambah baik strategi perniagaan dengan menggunakan lebihan aliran tunai daripada moratorium untuk menjana pendapatan baharu.”

“Usahawan harus berinovasi, bijak mengurangkan kos dan perlu bertahan dengan memastikan tiada masalah aliran tunai untuk memastikan syarikat terus operasi dan pekerja dibayar gaji. Yang menjadi masalah adalah apabila mempunyai aliran tunai tetapi tidak mempunyai perancangan, dan pastinya tanpa perancangan yang kukuh, syarikat akan lumpuh,” katanya.

Beliau memberikan contoh syarikat beliau yang menggunakan kelebihan cuaca panas di Malaysia untuk menjana tenaga solar yang kemudian dijual dalam bentuk tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Jaya Net Sdn Bhd mengikuti Program Net Energy Metering (NEM) dibawah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (EC).  

Katanya, hasil daripada cabang baharu perniagaan itu telah membantu syarikatnya untuk membayar gaji pekerja dan pada masa yanh sama dapat mengukuhkan aliran tunai syarikat.

Sementara itu, pengeluar jagung bijian, Ramana K. Naidu berkata, tempoh PKP membawa hikmah kepadanya kerana berjaya membuka satu lagi cabang perniagaan iaitu menjalankan perniagaan penternakan dan penjualan lembu.

Beliau mengambil keputusan untuk menternak lembu selepas tiga (3) minggu tempoh PKP dilaksanakan apabila melihat potensi perniagaan itu dan pada masa yang sama berdepan masalah bekalan benih jagung import yang tersekat berikutan penularan COVID-19.

“Ketika itu saya nampak daging dari India tidak boleh dibawa masuk dan orang ramai pula mengadu kekurangan bekalan daging lembu. Jadi di situlah tercetus idea untuk menternak lembu dengan membawa masuk lembu tempatan serta membeli lembu daripada orang kampung menggunakan lebihan aliran tunai daripada kemudaahan moratorium yang diberikan oleh Agrobank untuk dijadikan modal bagi tujuan ini. Sehingga Aidiladha yang lalu saya berjaya telah menjual kira-kira 400 ekor lembu.

Sementara itu, Ahmad Shahril memuji langkah proaktif yang diambil oleh kedua-dua usahawan tani Agrobank ini dalam merancang kewangan mereka melalui lebihan aliran tunai hasil daripada kemudahan moratorium yang diberikan oleh pihak bank dan sekaligus mencari peluang untuk meluaskan perniagaan mereka berdasarkan keperluan dan permintaan semasa pasaran.

Beliau turut menambah, “Saya juga ingin menyeru kepada pelanggan bank untuk menilai semula aliran tunai syarikat dan komitmen kewangan mereka dan seterusnya mendapatkan sesi konsultansi daripada pihak bank sekiranya memerlukan bantuan lanjutan moratorium atau Penjadualan dan Penstrukturan Semula selepas tempoh automatik moratorium berakhir pada 30 September ini.”

“Ini adalah penting kerana kita tidak mahu melihat pelanggan Agrobank terpaksa menutup perniagaan mereka hanya kerana tempoh getir ini yang bagi saya boleh kita tempuhi bersama.”

“Pakar ekonomi meramalkan sektor pertanian dan agromakanan akan pulih lebih cepat berbanding sektor lain, jadi anda harus bijak dalam merancang perniagaan dan mendapatkan khidmat nasihat kewangan andar sewajarnya,” katanya.