Agrobank, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) Jalin Kerjasama Strategik Perkasa Usahawan Agro Di Selangor
SERDANG, 1 SEPTEMBER 2024 – Agrobank secara rasmi menjalinkan kerjasama strategik dengan Menteri Besar Selangor (Incorporated) (MBI) dalam usaha menyokong pembangunan usahawan agro di Selangor melalui penyediaan bantuan kewangan serta sokongan perniagaan dalam pelbagai segmen rantaian nilai pertanian.
Inisiatif dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) secara bersama oleh Agrobank dan MBI ini mampu memperkasakan usahawan pertanian di Selangor selain meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka ke tahap yang lebih tinggi dan mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara.
Majlis ini disempurnakan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (PCEO) Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Divisyen Kewangan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Kewangan MBI, Puan Zannifa Azura Ahmad sambil disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) yang berlangsung di MAEPS Serdang.
Melalui kerjasama ini, usahawan yang terlibat dalam sektor pertanian sama ada dalam pengeluaran huluan seperti penternakan dan perikanan atau dalam aktiviti hiliran seperti pemprosesan makanan dan pengilangan bakal mempunyai akses kepada dana diperlukan.
”Agrobank akan menyediakan pelbagai kemudahan bukan sahaja daripada segi pembiayaan tetapi turut meningkatkan kesiapsiagaan para usahawan Negeri Selangor melalui latihan dan khidmat nasihat kepada usahawan terlibat dalam sektor agromakanan dalam usaha mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara. Pembiayaan daripada kami bermula minimum RM1,000 sehingga maksimum RM5,000,000.”
“Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan MBI untuk menyokong komuniti pertanian di Selangor. Inisiatif ini selaras dengan misi Agrobank untuk mempromosikan pembangunan sektor pertanian di Malaysia dan memastikan para usahawan kita mempunyai akses kepada pembiayaan yang diperlukan untuk berjaya,” tambah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (PCEO) Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Program ini akan bermula pada suku keempat tahun 2024 dan akan berterusan sehingga jumlah peruntukan dana disediakan digunakan sepenuhnya. Dalam pada itu, program ini juga terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada Agrobank yang berdaftar sebagai usahawan di bawah Kerajaan Negeri Selangor.
Kriteria Kelayakan
- Usahawan berumur antara 18 hingga 70 tahun.
- Syarikat yang dimiliki oleh warganegara Malaysia dengan sekurang-kurangnya 51% pemilikan tempatan.
- Perniagaan mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan beroperasi di Malaysia.
- Aktiviti perniagaan mestilah mematuhi prinsip Syariah.
Terma Pembiayaan
- Jumlah Pembiayaan Minimum: RM1,000
- Jumlah Pembiayaan Maksimum: RM5,000,000
- Kadar Keuntungan: Berbeza bergantung kepada jenis program pembiayaan.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen Agrobank untuk memperkasa usahawan agro dengan menyediakan penyelesaian kewangan yang disesuaikan dengan keperluan mereka selain memperkukuh serta membangunkan sosio-ekonomi selain memperkasakan ekonomi tempatan melalui pendekatan holistik dan mampan.
Majlis ini turut dihadiri Menteri Besar Selangor oleh Datuk Seri Amiruddin Shari dan usahawan- usahawan tempatan.